Lelaki Disahkan Mati Selama 45 Minit, Kemudian Bangun Semula “Apabila Saya Bangun, Saya Tak Memahami Apa Yang Berlaku”

Washington: Umpama mati hidup semula. Itu perasaan dialami pendaki di Amerika Syarikat (AS) yang ‘mati’ selama 45 minit sebelum jantungnya berfungsi semula.


Michael Knapinski, 45, mendaki di Taman Negara Gunung Rainier pada 7 November lalu sebelum ditemui pasukan penyelamat tentera laut dalam keadaan tidak bernyawa dan kesejukan.

Paramedik menerbangkan lelaki itu ke Pusat Perubatan Harborview di Seattle, Washington sebelum doktor melakukan bantuan kecemasan pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) dan menggunakan mesin bantuan pernafasan.

Nasib Knapinski baik apabila selepas 45 minit berusaha menyelamatkan nyawanya, jantung lelaki itu kembali berdenyut.

Knapinski berkata, dia tersedar dua hari selepas rawatan itu diberikan.

“Apabila saya bangun, saya tak memahami apa yang berlaku.

“Saya berterima kasih kepada semua di hospital kerana tidak mengalah dengan keadaan saya yang lemah ketika itu.

“Saya masih hidup dan bernafas,” katanya dalam The Sun yang memetik WPVI-TV.

Knapinski gemar melakukan pendakian sekurang-kurangnya dua minggu sekali sebagai satu caranya menjalani gaya hidup sihat.

Difahamkan, lelaki itu berpisah dengan rakan pendakinya di Muir Snowfield sebelum meneruskan perjalanan ke Paradise, sebuah kawasan di lereng selatan gunung tempat sepatutnya mereka bertemu semula.

Namun, Knapinski tidak muncul sebelum rakannya mendapatkan bantuan kecemasan mengesannya.

kredit harian metro