KUALA BERANG: Seorang peniaga yang juga pengamal perubatan alternatif bergelar “ustaz” ditahan selepas disyaki mencabul seorang jurujual wanita ketika mangsa mendapatkan rawatan.
Suspek berusia 52 ditahan itu kira-kira jam 4 petang Sabtu di sekitar daerah Hulu Terengganu.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, mangsa yang berusia 30 tahun itu telah mendapatkan rawatan perubatan dengan suspek pada 22 November lalu.
Katanya, suspek mendakwa mangsa terkena buatan orang dan meminta izin mahu memegang mangsa untuk tujuan perubatan.
Mangsa membenarkan suspek memegangnya dan ketika itu suspek dikatakan mengambil kesempatan mencabul mangsa selain turut mencekik leher mangsa.
Selepas selesai menjalani rawatan, suspek memaklumkan yang dia akan datang ke rumah mangsa bagi melihat keadaan rumah bagi tujuan rawatan.
Mohd Adli berkata pada 24 November lalu, mangsa sekali lagi mendapatkan rawatan dan kali ini suspek meminta izin untuk menciumnya, namun mangsa tidak membenarkan suspek berbuat demikian.
Jelas Mohd Adli, curiga dengan rawatan dilakukan itu, suspek berkunjung ke pusat perubatan terbabit untuk bertanya lanjut berhubung proses rawatan dilakukan suspek.
Bagaimanapun, mangsa dimaklumkan suspek sudah digantung tugas dan pihak pusat perubatan itu meminta mangsa membuat laporan polis.
Mohd Adli berkata suspek kini direman selama empat hari hingga Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
kredit astro awani