“Bila Doktor Kata P@Yudara Saya Kena Buang, Saya Takut. Akhirnya Dua Tahun Saya Langsung Tak Pergi Hospital”

Menghidap kanser pada usia muda, bulan calang-calang orang yang boleh menerima berita ini dengan tenang. Ada yang buat keputusan untuk terus menyendiri kerana tak boleh terima kenyataan. Dunia terasa terhenti dan di hadapannya hanya ada kematian.


Wanita bernama Murni Hafiza bt Mohd Zamri, 33 tahun disahkan ada kanser payudara pada usianya 25 tahun. Ketika itu, dia membuat pemeriksaan sendiri keadaan payudaranya dan mendapati ada ketulan pada payudara sebelah kanan.

Tak pergi hospital

“BILA DAPAT TAHU SAYA ADA KANSER, SAYA MACAM TAK PERCAYA. ANTARA BOLEH TERIMA KENYATAAN DAN TAK BOLEH TERIMA KENYATAAN TU SAMA BANYAK. BILA DOKTOR KATA PAYUDARA SAYA NAK KENA BUANG, SAYA TAKUT. AKHIRNYA DUA TAHUN SAYA LANGSUNG TAK PERGI HOSPITAL,” CERITA MURNI.

Namun akhirnya apabila keadaan payudaranya semakin teruk sehingga keluar nanah, barulah dia akur dengan kenyataan dan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Murni, ketika itu anaknya, Athirah Najwa baru berusia setahun lebih. Sebagai ibu sudah tentulah dia mahu melihat anak membesar dan menikmati kehidupan dengan bahagia. Atas dasar itulah dia tabahkan hati dan menyerah diri kepada hospital.

Sakitnya kemoterapi

Demi membunuh sel-sel kanser, seseorang pesakit kanser itu perlu menjalani rawatan kemoterapi. Begitu juga dengan Murni. Dia turut menjalani rawatan tersebut.

“MEMANG BANYAK KESAN YANG SAYA DAPAT SELEPAS BUAT KEMOTERAPI. SAYA MUNTAH-MUNTAH, TAK LALU MAKAN. TAPI LAMA-LAMA BADAN KITA BOLEH TERIMA UBAT YANG DIMASUKKAN MASA PROSES KEMO TU,” KATA MURNI.

Disebabkan tidak tahan sakit rawatan kemoterapi, memang Murni mengakui pernah putus asa nak melalui satu demi satu rawatan kemoterapi. Tapi dia bersyukur kerana mempunyai suami, Shahizul Hafiz, yang sangat menyokong dirinya. Kata-kata semangat yang diberikan menyuntik motivasi dan pemikiran positif untuk dia meneruskan rawatan.

“SEPANJANG MENJALANI RAWATAN, SAYA TERPAKSA JAUH DARIPADA ANAK. KELUARGA SAYA BANYAK AMBIL ALIH TUGAS SEBAGAI IBU. MEMANG SEDIH, TAPI NAK BUAT MACAM MANA. SAYA KENA KUAT UNTUK MELAWAN SAKIT NI,” CERITA MURNI.

Tolak tepi semua stres

Pada hari ini memang susah nak elak stres sebab banyak situasi yang boleh menyebabkan stres. Namun demi menjaga kesihatan dia perlu menolak jauh-jauh perasaan stres. Malah dia turut mengakui tiada mana nak fikir masalah yang bukan-bukan. Bagi Murni, hidup perlu diteruskan dan dia buat apa yang dia suka buat. Kini, Murni aktif berniaga minuman kultur Yakult.

Murni berkongsi kisahnya ketika dijemput sebagai panel The Survivor Stories anjuran Vanilla Kismis sempena MisFit 2018, di PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bebas kanser

Tahun 2017 adalah tahun paling membahagiakan buat Murni. Dia disahkan bebas kanser selepas melalui 6 pusingan kemoterapi dan 21 kali pusingan radioterapi dalam tempoh enam tahun. Ya, walaupun perit menjalani rawatan kanser yang menyakitkan, namun akhirnya berbaloi. Sel kanser yang menyebabkan dia terpaksa melalui pembedahan membuang payudara sebelah kanan itu sudah mati sepenuhnya.

“Bagai mati hidup semula bila doktor sahkan saya dah bebas kanser. Saya gembira dan ingin hidup bahagia dengan suami dan anak,” ujarnya yang kini menyambut ulang tahun perkahwinan ke sepuluh.

Nasihat Murni untuk pesakit kanser

  1. Jangan putus asa jalani rawatan.
  2. Jangan stres
  3. Jangan menyendiri
  4. Bergaul dengan pesakit kanser
  5. Aktif dalam persatuan 
  6. Buat apa yang kita suka.
  7. Nikmati kehidupan dengan orang tersayang.
  8. Ubah gaya hidup lebih sihat.
  9. Jangan anggap diri kita tak sempurna tanpa anggota badan yang lengkap.
  10. Kuat semangat!

 

vanillakismis