“Bila Saya Mengangkatnya, Tiba-Tiba Tempat Pemegang Botol Plastik Itu Patah” Pelajar Derita Asid Mengalir Di Pehanya

Seorang pelajar lelaki terpaksa menahan kepedihan akibat paha melecur selepas terkena asid sitrik dengan menunggang motosikal selama 15 minit untuk pulang ke rumah sebelum menerima rawatan di Hospital Gua Musang, petang semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Fahmie Ahmad, 17, dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan itu.

Ahmad Fahmie yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Gua Musang berkata, dia dihantar ke hospital oleh bapanya selepas paha kirinya melecur.

Katanya, dia bersyukur apabila tidak mengalami kecederaan kritikal selepas asid menyerap ke dalam seluar yang dipakai sebelum terkena pahanya dengan kesan melecur sepanjang 20 sentimeter.

“Ketika kejadian, saya mengangkat botol plastik mengandungi asid sitrik itu ke tempat  lain kerana keadaan asid sudah lama bocor di situ.

“Apabila saya cuba mengangkatnya, tiba-tiba tempat pemegang botol plastik itu patah menyebabkan tumpahan asid terkena paha kiri,” katanya.

Ahmad Fahmie menceritakan kejadian itu ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang bersimpati ke atas kecederaan dialaminya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Industri, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 petang semalam, Ahmad Fahmie cedera kerana melecur paha kiri terkena tumpahan asid sitrik di bilik Makmal Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Gua Musang.

Selain itu, turut dikejar ke hospital untuk menerima rawatan ialah lima rakannya  bersama tiga guru.

Ahmad Fahmie berkata, dia masuk ke dalam bilik makmal itu bersama dua lagi rakannya.

Katanya, dia berbuat demikian tanpa arahan mana-mana guru dan hanya bertindak sendiri disebabkan botol mengandungi asid itu dilihat bocor serta boleh membahayakan kepada pelajar lain.

Artikel Berkaitan   “Saya Mengajar Ziqri Memakai Seluar Sendiri” Ibu Sangsi Alasan Tidak Masuk Guru Selepas Badan Pelajar Berbirat Merah

Sementara itu, Mohd. Syahbuddin turut bersimpati dengan nasib pelajar itu dan berharap agar kejadian itu tidak berulang kepada pelajar sekolah di daerah ini.

Katanya, pihak sekolah harus membuat pemantauan rapi dan memastikan bahan kajian yang sudah tamat tempoh tidak digunakan oleh para pelajar. – K! ONLINE