KUALA LUMPUR – Pelakon Shafimie Saedon atau lebih dikenali sebagai Fimie Don mencetuskan kontroversi apabila membuat eksperimen menerusi dua buah foto berbeza yang mengundang kritikan negatif netizen.
Dalam gambar pertama yang dimuat naik dalam Instagram, Fimie, 21, telah berkongsi sekeping foto dengan kapsyen tulisan bahasa Arab. Foto tersebut tidak menerima langsung komen.
Sementara menerusi foto kedua, pelakon itu beraksi berani dengan bersongkok seraya menunjukkan kedua-dua jari tengahnya dengan kapsyen antara lain berbunyi: “Dah cukup berani ke Fimie”?
Sekadar melakukan eksperimen, ironinya, foto pertama hanya menerima sekitar 300 likes sementara foto kedua, lebih 1,500 likes dengan banyak komen berbaur negatif.
“Aku hanya perlukan sejam untuk tunjuk perbezaan di antara dua gambar itu. Bukan sahaja dari segi komen tetapi likes-nya juga berbeza.
“Ini adalah eksperimen yang aku buat sendiri. Kerana aku tahu ramai yang tidak mampu untuk lakukannya.
“Dalam masa sejam, semuanya terbukti. Jadi, kepada semua yang tidak berani, takut akan kutukan netizen. Anda tidak perlu risau tentang mereka,” tulisnya melalui Instastory.
Disebabkan cuba melakukan kajian itu, ada yang berpendapat, Fimie sengaja mencetus kontroversi sama seperti pelakon sensasi, Iqram Dinzly.
“Kerana mereka hanya ingin lihat apa yang mereka pilih untuk lihat,” kata pelakon yang popular dengan drama Hikayat Putera Shazlan itu. -K! ONLINE