“Dah Lama Saya Nak Ke Korea Sejak 2010, Suka Budaya Sana, Bila Dah Jadi Macam Ni Saya Hilang ‘Mood’”

IMPIAN dua sahabat, Muhammad Shaifuddin Muhammad Ab Haqqi Eng, 24, dan Hasyemi Abdullah, 26, untuk melancong di Korea Selatan musnah selepas ditahan pegawai imigresen ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon 14 November lalu.


Insiden itu menyebabkan kedua-dua pemuda berkenaan disoal siasat tujuh jam sebelum dihantar pulang ke Malaysia pada hari sama.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Muhammad Shaifuddin berkongsi pengalamannya itu menerusi hantaran di laman Facebook, Road to Korea semalam.

Menceritakan kisah sebenar, Muhammad Shaifuddin berkata, dia dan Hasyemi bertolak ke Korea Selatan dengan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 1 pagi 14 November lalu bersama seorang lagi rakan mereka iaitu Fadhli Maimun, 25.

Katanya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, mereka bertiga terus menuju ke kaunter imigresen untuk pemeriksaan keselamatan dan mendapatkan cop pasport.

“Kami beratur seperti biasa dan pada mulanya, hanya lima daripada tujuh kaunter saja dibuka kerana dua lagi lorong laju. “Namun ketika giliran hampir tiba, saya dan Hasyemi dipanggil pegawai imigresen bertugas untuk ke lorong laju.

“Pada waktu itulah, kami ditanya mengenai itenari selain diminta menunjukkan tiket penerbangan pulang.

“Maklumat berkenaan ada di dalam telefon bimbit tetapi belum dicetak dan pegawai imigresen bertugas enggan mendengar alasan diberikan sebaliknya membawa kami ke bilik kuarantin untuk disoal siasat.

“Fadhli pula tidak berdepan masalah ketika berurusan di kaunter imigresen,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Shaifuddin berkata, sepanjang berada di bilik kuarantin, dia dan Hasyemi tidak dibenarkan keluar walaupun untuk ke tandas.

Menurutnya, dia kecewa dengan layanan pegawai imigresen bertugas yang langsung tidak bertolak ansur dan menerima penjelasan mereka sepanjang disoal siasat.

“Fadhli pernah ke Korea Selatan sebelum ini manakala saya dan Hasyemi baru pertama kali.

“Jadi kami memang tiada pengalaman berurusan dengan pegawai imigresen di situ dan tidak sangka mereka bersikap sebegitu.

“Walaupun berusaha membela diri kerana tidak bersalah, kami akhirnya terpaksa akur apabila diarahkan pulang ke Malaysia selepas tujuh jam disoal siasat,” katanya yang menetap di Kuala Krai, Kelantan.

Meskipun perbelanjaan tiket penerbangan pulang ke Malaysia ditanggung, Muhammad Shaifuddin mengakui sedih kerana insiden itu menyebabkan impiannya melancong lima hari ke Korea Selatan musnah.

“Saya memasang impian untuk ke Korea Selatan sejak 2010 lagi kerana suka menonton rancangan realitinya terutamanya Running Man.

“Selain itu, saya mahu ke sana kerana suka budaya masyarakat di sana.

“Kebetulan ada rakan mahu pergi bersama dan disebabkan itu, kami sepakat membeli tiket penerbangan dua bulan awal iaitu September lalu.

“Namun lain pula jadinya dan apa yang berlaku menyebabkan saya hilang ‘mood’ untuk melancong lagi dalam waktu terdekat.

“Diharap kisah saya ini menjadi pengajaran buat orang lain supaya lebih bersiap sedia sebelum melancong ke luar negara,” katanya yang tiba di Malaysia pada pagi 15 November lalu.