“Dengan Berita Abu Chin Peng Dibawa Balik Ke Negara Ini, Hati Saya Amat Terguris Sehingga Semalam Saya Terkenangkan Nasib Rakan..”

SHAH ALAM – Seorang askar yang pernah terlibat dalam operasi menentang komunis pada 44 tahun lalu amat kesal dan terguris dengan tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng dari Bangkok, Thailand ke negara ini.

Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Ibrahim Yahya berkata, walaupun kejadian itu sudah lama berlaku tetapi memori serangan hendap di Kobis di Kulim, Kedah pada 10 April 1975 masih menebal dalam ingatannya.

Menurutnya, kejadian itu telah mengorbankan enam rakan akibat serangan bersenjata oleh kumpulan komunis.

“Dengan berita abu Chin Peng yang dikatakan dibawa balik ke negara ini, hati saya amat terguris sehingga semalam saya terkenangkan nasib rakan yang gugur dalam tragedi tersebut.

“Kalau saya terguris, apatah lagi waris-waris kepada anggota keselamatan dan pertahanan yang terkorban kerana menjadi benteng negara untuk melawan komunis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ibrahim berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat pihak yang berjaya membawa masuk abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ia bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada sejarah perjuangan pasukan pertahanan sebaliknya boleh menjejaskan keharmonian negara.

Memetik laporan Malaysiakini, abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dipercayai dibawa balik ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya dengan sebahagiannya ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak manakala selebihnya di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di Bangkok akibat sakit tua.

Artikel Berkaitan   “Zulfarhan Duduk Di Tengah-Tengah Sambil Dikelilingi Oleh 20 Orang”