Sejak semalam, tular di media sosial berkenaan satu kes pembunuhan yang dipercayai bermula disebabkan pertengkaran melibatkan kes kecurian pembesar suara di Flat Ashby Road, Sungai Senam.
Dalam pertengkaran tersebut, beberapa orang suspek yang juga anak beranak dipercayai turut terlibat dan membawa kepada kematian mangsa.
Menerusi Utusan Malaysia, mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergelutan bersama suspek selepas dicekak dari belakang hingga lemas.
Berlaku pertengkaran dahulu
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid , beliau memaklumkan kejadian itu dipercayai berlaku ekoran suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan mencuri pembesar suara milik salah seorang daripada mereka.
“Suspek dikatakan menjumpai mangsa bersama pembesar suara berkenaan. Pertengkaran berlaku sebelum seorang daripada suspek mencekak leher mangsa dari belakang.
“Mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Video menjadi tontonan ramai
Apa yang menyedihkan adalah video dan gambar ketika mangsa diperlakukan sehingga kehilangan nyawa tular di media sosial.
Video tular di group whatsapp, kejadian yang membawa kepada kematian seorang individu di flat ashby. Tuhan je lah selamatkan nasib semua2 yang ada keliling si mati. pic.twitter.com/t75LeeURKq
— Jeb (@JetsamCadillac) November 25, 2021
Bekas pelajar IPTA
Pemergian Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin yang juga merupakan graduan dari sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) telah mendapat perhatian tempat belajarnya apabila Facebook persatuan alumni menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa diatas pemengian tersebut.
Suspek sudah ditahan
Setakat ini, beberapa orang suspek berusia 60, 43, dan 34 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Ketika di lokasi kejadian, sebilah pisau lipat berjaya dirampas oleh pihak polis.
“Permohonan reman akan dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujar Ketua Polis Perak itu lagi.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7 pagi 25 November 2021. Pada awalnya, hanya pertengkaran mulut yang berlaku, namun lama kelaman pergelutan antara mereka terjadi hingga salah seorang meninggal dunia.
Sumber: Utusan Malaysia (Asliza Musa), Twiter @JetsamCadillac, FB Persatuan Alumni Politeknik Sultan Azlan Shah