
DUNGUN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu tidak menolak kemungkinan dua ekor harimau yang terkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi dekat sini semalam merupakan haiwan belaan.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, andaian itu tidak boleh ditolak berikutan kejinakan kedua-dua haiwan liar berkenaan yang amat bertentangan dengan sifat semulajadinya.
Beliau berkata, harimau merupakan haiwan pemangsa yang tidak akan teragak-agak untuk menyerang sekiranya berasa terancam.
“Sebaliknya, pasangan harimau yang dilapor berkeliaran semalam pula kelihatan jinak dan kurang menghiraukan penduduk serta kenderaan yang cuba mendekatinya.
“Mungkin dua ekor harimau belang terbabit telah dilepaskan pembelanya di kawasan lain sebelum tersesat memasuki perkampungan terbabit,” katanya sewaktu ditemui ketika mengetuai pemantauan di Kampung Besol Lama, Bukit Besi dekat sini hari ini.
Abdul Malek berkata, teori kedua ialah dua ekor harimau berkenaan berkemungkinan juga berpenyakit sehingga kelihatan tidak bertenaga dan agresif seperti kebiasaan jika dilihat kepada keadaan fizikalnya.
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan lain harimau betina dan anaknya yang merupakan harimau jantan terpaksa keluar dari habitat asal untuk mencari makanan akibat aktiviti perlombongan dan pembalakan di kawasan hutan berhampiran. – K! ONLINE