Seorang lelaki kurang upaya berkerusi roda melihat menyelamatkan seekor kucing yang terjatuh ke dalam longkang. Walaupun kisah ini telah lama berlaku namun kebaikan lelaki ini tetap berbekas di hati dan wajar dijadikan inspirasi kepada semua.
Dalam keadaan terbatas dan serba kekurangan, aksi seorang lelaki kelainan upaya (0KU) berkerusi roda yang menyelamatkan kucing di dalam longkang menyentuh hati para netizen.
Menerusi video berdurasi dua minit lima saat itu, sikap prihatin Abu Fathiyyaturahma menerima pujian ramai.
Malah, video yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya tidak lama dahulu kini menerima lebih 300,000 tontonan. Wah!
“Pagi tadi semasa dalam perjalanan ke Kompleks Sukan Likas, saya dan kawan ternampak seekor anak kucing yang terjatuh dalam longkang besar sedang berpaut kuat di dinding longkang dalam keadaan basah kuyup. Entah sudah berapa lama dia di situ.”
“Saya pun cuba naikkan kucing tu ke atas, Alhamdulillah saya dapat bantu dia naik,” tulisnya di Fesbuk sehingga kini menerima 2,500 tanda suka.
‘Yang sempurna pun belum tentu buat seperti bro. Tahniah.’ – NETIZEN
Menurut Abu Fathiyyaturahma lagi, video berkenaan dirakam oleh sahabatnya yang juga seorang 0KU.
“Sahabat saya yang merakam video ni juga seorang 0KU pengguna kaki palsu.
“Dia tidak boleh turun untuk selamatkan anak kucing tu jadi saya buat keputusan untuk turunkan selamatkan anak kucing tu,” katanya lagi.
Selain dikongsi lebih 1,700 pelayar Fesbuk, posting itu turut dihujani dengan pelbagai komen netizen.
Malah, ia turut dimuat naik semula ke beberapa halaman Facebook lain sehingga menjadi perbualan ramai.
Rata-rata netizen memuji sikap Abu Fathiyyaturahma dan menyifatkan lelaki itu sebagai pencinta haiwan sebenar.
“Terima kasih. Anda seorang insan yang hebat. Walaupun 0KU. Hati anda mulia tanpa mengira kepayahan demi menyela matkan makhluk Allah yang lain.”
“Yang sempurna pun belum tentu buat seperti bro. Tahniah.”
“Terbaik… Kekurangan diri bukan penghalang meneruskan kebaikan kepada manusia mahupun haiwan,”
Sumber : Bicarakini