Ibu Bapa Yang Bawa Bayi Tanpa CRS Akan Disaman, Ramai Yang Membeli Tanpa Fikirkan Soal Keselamatan Anak Sendiri

AWAS! Anda mungkin mahu berjimat namun tanpa disedari meletakkan anak dalam risiko kematian sekiranya menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) terpakai yang tidak mengikut spesifikasi dan piawaian ditetapkan.


ada pembelian ‘panik’ CRS di seluruh negara rentetan penguatkuasaan penggunaannya yang diumumkan kerajaan bermula 1 Januari lalu.

Pembelian panik itu dilaporkan dilakukan ibu bapa bertujuan mengelak mereka disaman pihak berkuasa tanpa menyedari CRS mempunyai tarikh luput penggunaannya antara enam hingga lapan tahun. Malah, CRS yang pernah terbabit dalam kemalangan tidak boleh digunakan.

Wartawan Harian Metro melakukan tinjauan di beberapa kedai barangan terpakai di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan situasi sebenar susulan penguatkuasaan penggunaan CRS berkenaan.

ANTARACRS terpakai yang dijual di kedai barangan terpakai.

Seorang penjual barangan terpakai termasuk CRS yang ditemui di ibu kota berkata, permintaan CRS meningkat sejak kerajaan mengumumkan penguatkuasaan penggunaannya.

“Ramai pelanggan datang beli. Mereka kebanyakannya mahu beli yang murah kerana bimbang dikenakan saman,” katanya.

Menurutnya, CRS terpakai dijualnya diimport dari luar negara dan dijual sekitar RM80.

“Saya tidak tahu import dari mana, mungkin Jepun. Keadaannya elok lagi, di luar sana lagi mahal. Jangan risau, harga boleh runding kalau serius (untuk membeli),” katanya.

Ditanya berapa usia CRS terpakai dijualnya itu selain sama ada pernah terbabit dalam kemalangan atau tidak, peniaga terbabit kelihatan terpinga-pinga dan menggelengkan kepalanya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Am, 35, berkata, harga CRS terpakainya dijualnya bergantung dengan keadaan. “Harga ikut condition (keadaan), yang cantik dan berjenama mahal sikit. Tapi, ada yang murah kalau mahu. Cuma keadaannya biasa-biasa saja. Janji ada dalam kereta, kalau tak nanti kena saman,” katanya.

Selain tinjauan dilakukan di kedai barangan terpakai, wartawan juga melakukan pemerhatian terhadap penjualan CRS secara dalam talian.

Semakan di satu platform jual beli dalam talian mendapati harga ditawarkan lebih murah iaitu serendah RM30 hingga bawah RM50 selepas diskaun.

Meskipun rekaannya menarik dan memberi jaminan keselamatan di ruangan keterangan produk, tiada pelekat pengesahan piawaian dengan Kod QR dipaparkan.

Manakala, semakan di sebuah platform jual beli dalam talian mendapati harga ditawarkan mampu milik cuma terdapat penjual yang mengiklankan CRS walaupun keadaannya sudah tidak sempurna yakni terdapat kerosakan di beberapa bahagian.

Turut dijual CRS mudah alih serendah RM30 yang tidak diketahui sejauh mana ia boleh melindungi dari kecederaan serius sekiranya kenderaan terbabit dalam kemalangan.