Ibu Ini Dituduh Membiarkan 3 Orang Anaknya Terkurung Dalam Rumah Kerana Mengikut Teman Lelakinya Ke KL

Ibu tunggal yang meninggalkan tiga zuriatnya bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa pada minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini hari ini atas tiga pertuduhan pengabaian anak.

Tertuduh, Siti Minah Muhammad, 32, yang baru mendapat kerja sebagai pembantu kedai makan membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, Siti Minah didakwa membiarkan tiga anaknya yang berusia enam, lapan dan 12 tahun tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Setengge, Kuala Berang dekat sini pada pukul 10 pagi, 3 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut  Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! 5 Julai melaporkan tiga beradik berkenaan disyaki ditinggalkan bersendirian oleh ibu kandungnya di dalam sebuah rumah teres setingkat yang disewa mereka selama tiga hari sebelum diselamatkan seorang pegawai JKM Terengganu.

Ibu kandung mereka yang telah berpisah dengan bekas suaminya sejak beberapa tahun lalu dipercayai meninggalkan mereka untuk mengikut teman lelakinya ke Kuala Lumpur. – K! ONLINE

[VIDEO] Ibu abai tiga anak didakwa

[VIDEO] Ibu tunggal yang meninggalkan tiga zuriatnya bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini hari ini atas tiga pertuduhan pengabaian anak.Berita penuh di https://bit.ly/2LKuLZn#kosmo #tvkosmo #videokosmo #ibuabaianakVideo oleh MOHD. AZLI ADLAN

Posted by Kosmo Online on Wednesday, 10 July 2019