JUNEAU – Seorang doktor gigi dibicarakan susulan tindakannya merawat gigi seorang pesakit sambil meluncur hoverboard.
Pesakit, Veronica Wilhelm berkata, dia tidak tahu tentang hoverboard itu atau prosedur yang dilakukan pada Julai 2016 lalu telah dirakam.
Katanya, dia hanya mengetahui tentang perkara tersebut apabila penyiasat menghubunginya untuk mengesahkan bahawa dia adalah individu di dalam video terbabit.
Menurut tuntutan mahkamah yang difailkan pada April 2017, doktor gigi Seth Lookhart telah berkongsi klip rakaman video tersebut kepada keluarga dan rakannya.
Dalam perbualan dengan nada bergurau, Lookhart berkata, tindakannya melakukan pembedahan mulut sambil meluncur hoverboard adalah standard penjagaan baharu.
Rabu lalu, Lookhart dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk penipuan dan Wilhelm turut memberi keterangan bahawa doktor lelaki itu tidak bertanya sama ada dia selesa dirawat semasa doktor meluncur hoverboard.
“Jika dia tanya saya sebelum prosedur dilakukan, sudah tentu saya jawab tidak. Tindakan itu sangat tidak profesional,” katanya.
Difahamkan, perbicaraan Lookhart bermula 12 November lalu.
Sementara itu, peguam Lookhart, Paul Stockler turut meminta maaf kepada Wilhelm atas tindakan anak guamnya. – Agensi