SEREMBAN – Pasar raya Family Store Ampangan di Taman Cengal Utama di sini menafikan dakwaan premis itu menjual daun ketum seperti yang tular di media sosial hari ini
Seorang kakitangan pasar raya itu menjelaskan, gambar daun ketum yang tular di media sosial tersebut sebenarnya daun ketumbar yang dijual di premis berkenaan.
Jelas beliau, kekeliruan itu berlaku berikutan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang merakam gambar pelekat pada daun ketembur di pasar raya tersebut.
“Individu yang merakam gambar itu menutup ejaan ‘bar’ pada pelekat daun ketumbar menjadikan perkataan yang boleh dibaca cuma daun ketum.
“Kami tidak menjual daun ketum seperti yang didakwa dan berharap orang ramai mendapat penjelasan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kakitangan pasar raya itu turut menghantar gambar daun ketumbar yang didakwa sebagai daun ketum tersebut.
Terdahulu, Kosmo! menerima maklumat melalui aplikasi WhatsApp mendakwa Pasar raya Family Store Ampangan menjual daun ketum kepada orang ramai secara terbuka.
Turut disertakan sekeping gambar yang didakwa daun ketum yang dijual di pasar raya tersebut pada harga RM1.36 seikat. – K! ONLINE