“Kami Tak Larat Dah Duduk Kat Rumah Using Ni, Takda Air Dan Elektrik, Bantulah Kami!”

IBU tunggal lima anak yang hidup serba daif di sebuah pondok usang di Kampung TB Ward, di sini, berharap ada pihak tampil membantu membina rumah untuk keluarganya.


Rosinah Hussin, 35, berkata hingga kini dia dan anaknya tinggal di pondok yang didirikan sekumpulan remaja dari Madrasah Darus Sunnah sebelum ini.

Katanya, keadaan rumah yang terlalu usang dan serba kekurangan itu membuatkannya buntu serta mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantu.

“Selama ini, kami tinggal di sini dalam keadaan serba kekurangan. Kami tiada elektrik dan sumber air yang tetap.

“Rumah kami juga tidak mempunyai tandas selepas roboh satu ketika dulu. Saya tidak mampu beli peralatan dan upah tukang untuk membaikinya,” katanya ketika ditemui di pondoknya, semalam.

Rosinah berkata, dia berharap ada pihak sudi membantu untuk keselesaan dan keselamatan anaknya.

KEADAAN tandas yang sudah roboh. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

“Kami tidak mahu rumah yang cantik dan besar. Tetapi, cukup sekadar ada bekalan air dan elektrik serta berdekatan sekolah.

“Kami tidak kisah ia rumah kayu atau lama. Apa yang penting, kami boleh menetap dengan lebih selesa di situ kelak.

“Selama ini, setiap kali hujan lebat pondok kami dimasuki air dan terpaksa berjaga-jaga,” katanya.

Wanita itu berkata, dia juga tidak tahu sama ada layak diberikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau tidak.

“Mungkin kami tidak layak tinggal di rumah PPRT. Tambahan pula saya tidak mempunyai pendapatan tetap untuk sewa bulanan dan hanya mengharapkan elaun bulanan kebajikan,” katanya.

Katanya, dia berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan kewangan kepadanya dan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya bernombor 1212941000125376.

ROSINAH mengharapkan belas ihsan daripada orang ramai membina rumah lebih selesa untuk keluarganya. FOTO Hazsyah Abdul Rahman