“Lathi Challenge Haram, Bertentangan Akidah Islam” – Mufti WP

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai Lathi Challenge yang menjadi perdebatan di media sosial. Perkara itu turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah yang berkata hukum melakukan Lathi Challenge adalah haram dan berdosa.

Menurut Dr Luqman ianya jatuh haram kerana mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.

Dr Luqman turut menasihatkan kepada umat Islam supaya tidak terikut dalam cabaran-cabaran berbentuk pemujaan dan ritual demi menjaga akidah.

“Setakat maklumat yang kami dapati, Cabaran Lathi ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran itu.

“Cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan.

“Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul sebuah single dinyanyikan Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira,” katanya.

Perkara itu dijelaskan oleh beliau dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-521: Hukum melakukan Lathi Challenge yang dikongsikan Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Jelasnya lagi, di dalam muzik video rasmi itu, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik. Malah, di dalam lirik lagu itu turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.

Dalam pada itu, pihaknya menegaskan tindakan menularkan cabaran seperti itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ianya perkara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Pihaknya turut menyeru orang ramai supaya berhenti berkongsi video di media sosial serta tidak terlibat dalam sebarang cabaran berbentuk pemujaan dan ritual demi menjaga akidah.

Artikel Berkaitan   Inilah Bezanya Nafkah Isteri dan Wang Belanja

Sumber : Rotikaya