Lelaki Ini Dituduh Kahwin Dengan “Nenek” Gara-Gara Mahu Lari Daripada Latihan Ketenteraan

VINNITSA, Ukraine – Sekumpulan pegawai Ukraine kini menyiasat dakwaan seorang pemuda berumur 24 tahun berkahwin dengan sepupunya berstatus orang kelainan upaya bagi mengelak diri daripada menyertai khidmat kerahan tentera, lapor akhbar Daily Mail baru-baru ini.

Alexander Kondratyuk, 24, mendakwa dia amat mencintai sepupunya yang berusia 81 tahun dan menafikan perkahwinan itu sebagai taktik mengelak diri daripada khidmat sebagai anggota tentera kerahan.

Pengerahan tentera di Ukraine adalah wajib walaupun ada beberapa pengecualian yang membenarkan orang ramai tidak menyertai perkhidmatan itu.

Jika menjaga isteri kelainan upaya dan boleh membuktikan perkahwinan serta keadaannya menggunakan dokumen rasmi, seseorang individu itu boleh dikecualikan daripada kerahan tentera.

Perkahwinan pasangan itu diadakan di perkampungan Baykovka dekat bandar Vinnitsa, barat tengah Ukraine.

Menjawab soalan wartawan mengenai perkahwinan mereka, Zinaida Illarionovna, 81, mengakui bahawa pasangannya merupakan suami yang baik dan mengambil berat tentang dirinya.

Beberapa jiran wanita tersebut mendakwa lelaki itu tidak pernah dilihat di kawasan berkenaan.

“Lelaki itu mempunyai hak untuk menangguhkan penyertaan khidmat tentera kerana dia ialah penjaga orang kelainan upaya yang berdaftar,” kata Pesuruhjaya Aleksandr Danilyuk yang bertanggungjawab mengendalikan kerahan tentera di Pejabat Pesuruhjaya Vinnitsa. – Agensi

Artikel Berkaitan   Pemandu Lori Tersepit Lalu Kaki Kanannya Hancur, Bomba Ambil Masa 15 Minit Untuk Mengutip Cebisan Kaki