“Minta Sangat Terutamanya Wanita, Jika Anda Mengalami Rasa Seperti Ini Ketika Kencing Ia Jangkitan Saluran Kencing”

JANGKITAN saluran kencing (UTI) berlaku apabila kuman menjangkiti sistem urinari yang terdiri daripada pundi kencing, buah pinggang, salur ureter dan salur uretra.

Jangkitan ini boleh berlaku sama ada dalam kalangan kanak-kanak atau dewasa dan ia lebih dialami oleh wanita. Bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing ialah E. coli, S. saprophyticus, klebsiella, proteus, enterobacter dan pseudomonas.

PENYEBAB

Kebiasaannya, wanita yang sudah mengalami menopaus lebih kerap mendapat jangkitan saluran kencing disebabkan perubahan paras hormon.

Perubahan hormon yang berlaku semasa kehamilan juga boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan UTI. Selain itu, seseorang yang mempunyai masalah sistem urinari seperti masalah batu karang

atau prostat mungkin mendapat jangkitan saluran kencing kerana pembuangan air kencing yang terganggu.

Pesakit yang menggunakan kateter, iaitu tiub yang dimasukkan ke dalam pundi kencing melalui uretra untuk mengalirkan air kencing keluar juga berisiko mendapat jangkitan saluran kencing. Dalam keadaan tertentu, risiko mendapat jangkitan ini boleh meningkat disebabkan oleh hubungan kelamin.

GEJALA/TANDA

Antara gejala jangkitan saluran kencing adalah:

  • Berasa sakit dan pedih semasa membuang air kencing
  • Pembuangan air kencing yang tidak lawas
  • Kerap membuang air kecil
  • Air kencing yang pekat, berbau dan kotor
  • Sakit di bahagian abdomen

Dalam sesetengah keadaan, ada pesakit mengalami jangkitan saluran kencing tanpa menunjukkan gejala atau tanda. Bagaimanapun, jangkitan dapat dikenal pasti melalui ujian air kencing. Ujian dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria atau bendasing dalam air kencing pesakit.

KOMPLIKASI

Jangkitan saluran kencing jarang menyebabkan komplikasi serius sekiranya rawatan betul diberi pada peringkat awal. Bagaimanapun, ada keadaan yang mana jangkitan saluran kencing tidak dirawat boleh mengakibatkan komplikasi seperti jangkitan bakteria merebak ke buah pinggang.

Artikel Berkaitan   19 Khasiat Gamat Yang Anda Perlu Tahu. Setiap Rumah Mesti Ada Gamat

Jangkitan ulangan boleh berlaku apabila pesakit gagal mematuhi rawatan yang diberikan sebelum ini atau disebabkan jangkitan baharu. Jika jangkitan saluran kencing berlaku semasa mengandung dan rawatan tidak diberikan, ia boleh mengakibatkan kelahiran pramatang.

RAWATAN

Lazimnya, doktor akan melakukan ujian ke atas sampel air kencing untuk mengesan kehadiran bakteria atau bendasing yang menyebabkan jangkitan.

Ubat-ubatan dalam rawatan jangkitan saluran kencing akan diberikan kepada pesakit bergantung diagnosis selepas pemeriksaan.

Ada sesetengah keadaan memerlukan antibiotik. Pemilihan jenis antibiotik, dos dan tempoh rawatan berdasarkan jenis bakteria yang hadir dan tahap keseriusan jangkitan. Oleh itu, antibiotik yang diberikan adalah berbeza mengikut keadaan pesakit.

Ubat antibiotik yang biasa diberikan adalah nitrofurantoin, trimethoprim/sulfamethoxazole, ubat dalam kumpulan cephalosporins, ciprofloxacin dan beberapa jenis lagi. Sekiranya diberikan antibiotik, pesakit harus mengambilnya mengikut arahan doktor bagi mengelak masalah kerintangan antibiotik dan jangkitan berulang berlaku.

Pesakit yang mendapat jangkitan saluran kencing dinasihat agar meningkatkan pengambilan air kosong supaya bakteria dan bendasing dapat dikeluarkan melalui urin dengan kerap.

PENCEGAHAN

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Jangkitan saluran kencing dapat dicegah dengan menjaga kebersihan diri terutama di bahagian kemaluan. Jangkitan saluran kencing boleh dicegah dengan:

  • Minum air kosong yang secukupnya setiap hari.
  • Amalkan teknik membasuh kemaluan yang betul iaitu dari bahagian hadapan ke belakang bagi wanita.
  • Segera ke tandas sekiranya ada keinginan untuk membuang air kecil.

Jangkitan saluran kencing adalah masalah yang biasa berlaku dan boleh membawa komplikasi sekiranya dibiarkan. Dapat nasihat doktor agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.

Jika mempunyai pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum) untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan   Bangun Tidur Nampak Lebam Di Betis Kaki, Orang Dulu Kata Digigit Makhluk Halus, Pakar Bongkar Apa Sebenarnya Berlaku

Disediakan oleh Nurul Nasrah Mohd Ariffin

Pegawai Farmasi