Ini panduan bacaan Doa Nabi Yunus.
Doa Nabi Yunus ini dipermudahkan dengan tulisan Rumi dan juga bantuan audio.
Selain itu saya juga turut menyertakan hadis-hadis berkaitan, dan kelebihan mengamal doa ini.
Pengenalan
Zikir ini mengandungi kelebihan yang amat baik jika kita mengamalkannya, iaitu manfaat dikeluarkan kita daripada kesusahan atau bencana.
Doa Nabi Yunus atau juga dikenali sebagai zikir Nabi Yunus merupakan zikir yang dibaca oleh Nabi Yunus A.S. ketika Baginda berada dalam perut ikan nun.
Disebabkan zikir ini juga, Allah S.W.T. telah menyelamatkannya, yang akhirnya membolehkannya keluar dari perut ikan yang menelannya itu.
Bacaan Doa Nabi Yunus
Bagaimana lafaz bacaan doa Nabi Yunus?
Doa ini direkodkan di dalam al-Quran dengan lafaz:
Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin
Maksudnya:
Tidak ada Tuhan (yang dapat menolong) selain Engkau (Ya Allah!), Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang menganiaya diri sendiri.
(Surah al-Anbiya ayat 87)
Kelebihan Doa Nabi Yunus
1. Dimakbulkan Doa & Permintaan
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Rasulullah ﷺ berpesan bahawa sesiapa yang berdoa dengan doa Nabi Yunus ini, maka Allah akan memperkenankan doa mereka.
Sabda Rasulullah:
Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan Allah doanya itu.”
(HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)
2. Doa Yang Terbaik
Intipati doa terbaik adalah doa yang mengandungi elemen tauhid, tasbih dan istighfar.
Doa Nabi Yunus mengandungi ketiga-tiga komponen ini.
Ini sekaligus akan menzahirkan diri kita adalah sebagai seorang hamba yang sangat memerlukan kepada Tuhan yang Esa.
Inilah yang seharusnya yang disedari oleh seorang hamba.
Mereka dijadikan oleh Allah dan mereka memerlukan Allah.
Sejarah Kisah Nabi Yunus
Nama sebenar Nabi Yunus a.s adalah Yunus bin Mata atau Zun Nun.
Baginda adalah seorang Nabi yang mulia yang diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya.
Baginda menasihati mereka dan membimbing mereka ke jalan kebenaran dan kebaikan.
Baginda mengingatkan mereka akan kedahsyatan hari kiamat dan menakut-nakuti mereka dengan neraka dan menjanjikan mereka dengan syurga.
Baginda memerintahkan mereka dengan kebaikan dan mengajak mereka hanya menyembah kepada Allah SWT.
Nabi Yunus a.s. senantiasa menasihati kaumnya namun tidak ada seorang pun yang beriman di antara mereka.
Datanglah suatu hari kepada Nabi Yunus di mana baginda merasakan keputusannya dari kaumnya.
Hatinya dipenuhi dengan perasaan marah kepada kaumnya kerana mereka tidak beriman.
Kemudian baginda keluar dalam keadaan marah dan menetapkan untuk meninggalkan mereka.
Allah SWT menceritakan hal itu dalam firman-Nya :
Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘ Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Anbiya’ ayat 87)
Tidak ada seorang pun yang mengetahui perasaan dalam diri Nabi Yunus a.s. selain Allah SWT.
Nabi Yunus a.s. cukup marah kepada kaumnya kerana keengganan mereka untuk beriman kepada Allah SWT.
Dalam keadaan demikian, baginda meninggalkan kaumnya.
Baginda pergi ke tepi laut dan menaiki kapal yang dapat memindahkannya ke tempat yang lain.
Allah SWT belum mengeluarkan keputusan-Nya untuk menyuruh baginda meninggalkan kaumnya.
Nabi Yunus a.s. mengira bahawa Allah SWT tidak mungkin menurunkan hukuman kepadanya kerana dia meninggalkan kaumnya itu.
Saat itu Nabi Yunus a.s. seakan-akan lupa bahawa seorang nabi diperintah hanya untuk berdakwah di jalan Allah SWT. Taufik dan hidayah itu adalah hak Allah SWT untuk diberikan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Jadi, tugasnya hanya berdakwah di jalan Allah SWT dan menyerahkan sepenuhnya masalah berjaya atau tidak kepada Allah SWT semata-mata.
Diringkaskan cerita setelah undian dibuat sebanyak tiga kali Nabi Yunus a.s. termasuk penumpang kapal yang akan di campakkan kelaut disebabkan untuk mengurangkan beban kapal ketika laut bergelora untuk mengelakkan kapal karam.
Setelah dicampak ke lautan, Nabi Yunus a.s telah ditelan oleh seekor ikan paus yang besar.
Nabi Yunus a.s. sangat terkejut ketika mendapati dirinya dalam perut ikan.
Ikan itu membawanya ke dasar lautan dan lautan membawanya ke kegelapan malam entah ke mana…
Nabi Yunus a.s. menjangkakan bahawa dirinya telah mati.
Baginda mencuba menggerakkan panca inderanya dan anggota tubuhnya masih bergerak.
Kalau begitu, baginda masih hidup.
Baginda terpenjara dalam tiga kegelapan. Tiga kegelapan yang dialami oleh Nabi Yunus a.s. iaitu:
1. kegelapan di dalam perut ikan,
2. kegelapan di dasar lautan
3. kegelapan malam.
Nabi Yunus a.s. mulai menangis dan bertasbih kepada Allah SWT.
Hatinya mulai bergerak untuk bertasbih kepada Allah, dan lisannya pun mulai mengikutinya. Baginda mengatakan:
Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Ketika terpenjara di perut ikan, baginda tetap bertasbih kepada Allah SWT.
Ikan itu sendiri berenang cukup jauh. Kemudian ikan itu tertidur di dasar lautan.
Sementara itu, Nabi Yunus a.s masih bertasbih kepada Allah SWT.
Baginda tidak henti-hentinya bertasbih dan menangis. Baginda tidak makan, tidak minum, dan tidak bergerak.
Baginda berpuasa dan berbuka dengan tasbih.
Ikan-ikan yang lain dan tumbuh-tumbuhan dan semua makhluk yang hidup di dasar lautan mendengar tasbih Nabi Yunus.
Tasbih itu berasal dari perut ikan paus ini.
Kemudian semua makhluk-makhluk itu berkumpul di sekitar ikan paus itu dan mereka pun ikut bertasbih kepada Allah SWT.
Setiap dari mereka bertasbih dengan caranya dan bahasanya sendiri.
Ikan paus yang memakan Nabi Yunus itu terbangun dan mendengar suara-suara tasbih begitu riuh dan gemuruh.
Ia menyaksikan di dasar lautan terjadi suatu perayaan besar yang dihadiri oleh ikan-ikan dan haiwan-haiwan lainya, bahkan batu-batuan dan pasir semuanya bertasbih kepada Allah SWT dan ia pun tidak ketinggalan ikut serta bersama mereka bertasbih kepada Allah SWT.
Dan ia mulai menyadari bahawa ia sedang menelan seorang Nabi.
Allah SWT melihat ketulusan taubat Nabi Yunus a.s, menurunkan perintah kepada ikan itu agar mengeluarkan Yunus a.s. ke permukaan laut dan membuangnya di suatu pulau yang ditentukan oleh Allah SWT.
Ikan itu pun mentaati perintah Ilahi.
Tubuh Nabi Yunus a.s. merasakan kepanasan di perut ikan.
Baginda sedang sakit tenat, lalu matahari bersinar dan menyentuh badannya yang kepanasan itu. Kemudian Allah SWT menumbuhkan pohon Yaqthin (jenis labu), iaitu pohon yang daun-daunnya lebar yang dapat melindungi dari sinar matahari.
Dan Allah SWT menyembuhkannya dan mengampuninya.
Allah SWT memberitahunya bahawa kalau bukan kerana tasbih yang diucapkannya nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan sampai hari kiamat.
Allah SWT berfirman maksudnya:
Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan, kemudian ia ikut undi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit. Dan kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu. Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.”
(Surah as-Saffat ayat 139-148)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘ Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim. Maka Kami kabulkan (doanya) dan Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Anbiya’ ayat 87-88)
Justeru, daripada kisah Nabi Yunus ini, banyak pengajaran yang dapat kita ambil. Sedangkan nabi pun diuji sebegitu, apatah lagi kita yang hanya manusia biasa.
Apabila kita diuji, hanya satu tempat sahaja yang boleh kita mengadu dan meminta tolong, iaitu Allah S.W.T. kerana Dia yang Maha Berkuasa untuk memberi jalan keluar kepada kita.
Penutup
Mengikut logik, tiada manusia yang boleh hidup dalam keadaan begitu.
Bagaimanapun, satu ibadat yang tidak pernah ditinggalkan Nabi Yunus ketika menghadapi saat-saat sukar serta berada dalam suasana gelap gelita di dalam perut ikan Nun itu adalah zikir.
Justeru, amalkanlah zikir ini jika anda ditimpa masalah atau bencana, dan jadikanlah amalan agar diri sentiasa terpelihara daripada bencana.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca.