Rangup Macam Keropok! Begini Cara Buat Bayam Celup Tepung Yang Crispy, Mudah & Sihat

“Budak-budak ni sus4h betul nak disuruh makan sayur. Habis semua sayur dalam sup dia ketepikan, sorok, lepas tu buang macam tu je.”

Bukan anak-anak saja, ada orang dewasa pun memang liat betul nak disuruh makan sayur. Sampai kita pun naik pening nak fikirkan menu yang boleh pujuk mereka untuk makan sayur.

Bagi yang tengah mencari idea, mungkin boleh cuba bayam goreng tepung yang disumbangkan oleh Puan Widya Wati ini. Menurut beliau, kudapan inilah favourite mereka anak beranak. Rangup krup krap krup krap, macam makan kerepek. Walaupun dulu tak suka sayur, kalau rasa bayam goreng crispy ni sekali mesti terus jatuh cinta.

Jom kita tengok resepinya di bawah.

RESEPI BAYAM GORENG CRISPY YANG MUDAH & SIHAT
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

BAHAN-BAHAN
Daun bayam
Tepung beras 1 cawan
Tepung ubi 4 sudu makan
Bawang putih 3 biji
Bawang merah 1 biji
Ketumbar 1 sudu teh
Garam / Kiub pati ayam / Perasa (Secukup rasa)
Telur 1 biji


CARA-CARA
Ini cara nak buat bayam goreng crispy langkah demi langkah.

1. BASUH BAYAM
Mula-mula cuci daun bayam bersih-bersih. Kemudian toskan hingga agak kering.

2. TUMBUK BAWANG & KETUMBAR
Seterusnya, tumbuk halus bawang putih, bawang merah dan ketumbar. Ketepikan dalam satu bekas.

Jika suka pedas boleh tambahkan cili padi pada bahan yang ditumbuk tadi.

3. BANCUH TEPUNG
Kemudian, bancuhkan tepung beras dan tepung ubi dengan sedikit air beserta bahan-bahan yang ditumbuk tadi.

4. GORENG
Bila dah siap, boleh terus panaskan minyak dalam kuali.

Celupkan daun bayam ke dalam tepung dan gorengkan sehelai demi sehelai daun bayam guna api sederhana kecil.

5. SIAP!
Macam biasa, tunggu hingga kekuningan. Angkat dan toskan lebihan minyak. Siap untuk dihidang.

BOLEH SIMPAN JADI STOK KUDAPAN
Beginilah hasilnya bila dah siap tadi.

Boleh simpan dalam balang kedap udara supaya tahan lama dan kekal rangup. Bolehlah makan sambil tengok TV atau buat cicah dengan sos sambil minum petang. Tapi biasanya sehari dua saja dah habis makan! Maklumlah, benda sedap kan?

Mudah saja nak membuatnya. Rasanya pun sangat lazat dan mesti buat anda tak berhenti mengunyah. Rugi tak cuba tau. Untung-untung anak-anak makin suka makan bayam lepas ni.

Selamat menjamu selera!

*Resepi bayam goreng tepung ini disumbangkan oleh Wati Bfcar melalui Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.

Sumber: Siraplimau.com

(Visited 65 times, 1 visits today)