“SAYA Minta Maaf, Saya Terseret Kereta Awak. Ini Saja Duit Yang Saya Ada Sekarang. Sorry (Maaf) Sebab Sikit Saja,”

“SAYA minta maaf, saya terseret kereta awak. Ini saja duit yang saya ada sekarang. Sorry (maaf) sebab sikit saja,” itu kiriman nota yang ditinggalkan individu selepas melanggar bampar kereta milik pengusaha restoran, Hir Niezam Nasihin, 31, secara tidak sengaja baru-baru ini.


Selain nota permohonan maaf, individu itu turut meninggalkan wang RM100 sebagai ganti rugi dalam nota yang diselitkan di bahagian pengelap cermin kereta.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Hir Niezam memuat naik hantaran di Facebook miliknya 10 Oktober lalu.

Menceritakan kisah itu, Hir Niezam berkata, kejadian berlaku di Taman Sri Gombak, Selangor dua hari sebelum dia memuat naik status berkenaan di Facebook.

“Saya meletak kereta di hadapan sebuah bank dan tidak perasan langsung mengenai kesan calar pada bahagian bampar sehingga membaca nota yang diselitkan di pengelap cermin kenderaan ketika mahu ke tempat kerja.

“Nota itu menyatakan permohonan maaf individu terbabit dan wang RM100 sebagai ganti rugi namun dia tidak meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi.

“Bagaimanapun, saya dapat menjejakinya selepas perkongsian di Facebook tular di laman sosial dan dia sudah memohon maaf dengan menghantar kiriman mesej serta mengakui tidak sengaja terlanggar bampar kereta saya kerana memandu dalam keadaan tergesa-gesa ketika itu.

“Disebabkan rasa bersalah, dia turut bertanya kepada saya sama ada perlu menambah jumlah wang sebagai ganti rugi atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hir Niezam memulangkan wang yang dibayar individu melanggar bampar keretanya. FOTO Ihsan Hir Niezam Nasihin

Hir Niezam berkata, dia bagaimanapun nekad memulangkan semula wang ganti rugi yang diterima kerana merasakan individu berkenaan lebih memerlukannya.

“Menerusi perbualan kami baru-baru ini, individu itu memaklumkan dia menetap di Johor dan bukan orang senang.

“Jadi saya tak fikir panjang sebaliknya mengembalikan semula wang itu kepadanya memandangkan dia mengakui memerlukan sejumlah wang untuk membeli keperluan keluarga.

“Kiranya isu itu sudah selesai dan diharap warganet dapat mengambil mesej daripada perkongsian saya di Facebook baru-baru ini daripada sudut positif,” katanya.