“Saya Tak Sangka Apa Yang Saya Langar, Bila Tengok Ya Allah Tapir Hampir Mati”

Seekor tapir betina cedera dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam satu kejadian di Jalan Bukit Cerakah, Puncak Alam di sini malam tadi.


Kejadian pukul 9.30 malam itu berlaku apabila haiwan tersebut dipercayai cuba melintas jalan selepas keluar dari kawasan hutan berhampiran.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Haidar Khan Mokbolhassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada pasukan bomba.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian didapati tapir berkenaan terbaring di tepi penghadang jalan dengan beberapa kecederaan di bahagian badan selepas dilanggar sebuah kereta.

“Hasil pemerhatian, tapir tersebut tidak dapat bergerak susulan cedera pada kaki, kepala dan badan namun masih dalam keadaan sedar.

“Penghadang jalan terpaksa dipotong bagi mengeluarkan haiwan berkenaan dan operasi menyelamat haiwan itu selesai dalam tempoh dua jam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Haidar Khan berkata, haiwan seberat kira-kira 300 kilogram itu kemudiannya dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan dan pihaknya telah melaporkan kejadian itu kepada Perhilitan Selangor untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE