“Saya Tidak Dapat Menahan Sedih Hingga Mengalirkan Air Mata, Anak Saya Menyedarinya Hingga Bertanya Mengapa Menangis”

“APA yang berlaku membuatkan saya terkilan dan rasa seperti dipermainkan,” demikian luahan pesakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis atau MS), Nur Su’aidah Mohd Jaafar.


Kisah Nur Su’aidah, 31, yang bergerak menggunakan kerusi roda sejak hampir lima tahun lalu kerana hilang keupayaan berjalan tular selepas memuat naik hantaran luahan kekecewaannya di Facebook (Fb) mengenai sikap seorang pelanggan yang membatalkan pesanan sewaktu dia membuat penghantaran dengan kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD) pada 27 Jun lalu.

Hantaran Nur Su’aidah itu mengundang rasa simpati warganet yang mengharapkannya bersabar dengan kerenah pelanggan selain mendoakannya supaya terus diberi kekuatan untuk mencari rezeki.

Menceritakan kisah sebenar, Nur Su’aidah yang menetap di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu berkata, pelanggan berkenaan memesan kuih bunga durian, burger, susu segar, pekasam dan kambing perap berharga RM144.

Menurut Nur Su’aidah, dia sudah menghubungi pelanggan berkenaan sehari sebelum membuat penghantaran untuk memastikan persetujuannya mengambil pesanan pada hari dijanjikan iaitu keesokan harinya.

Nur Su’aidah turut menghubungi pelanggan terbabit sebelum bertolak dari rumahnya membuat penghantaran untuk kepastian dan jawapan diterima masih sama.

” Saya pergi ke rumah itu dengan menaiki kereta dan ditemani anak, Nur Farisya Zahra (tujuh tahun).

“Sebaik tiba di rumahnya, anak saya turun dari kereta menuju ke pintu untuk memberi salam.

“Menyedari kehadiran kami, pelanggan itu keluar dari rumahnya kemudian menuju ke kereta tetapi bukan untuk mengambil dan membayar tetapi membatalkan pesanan dibuat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Biarpun kecewa, Nur Su’aidah terpaksa akur pulang dengan tangan kosong selepas memandu sejauh 25 kilometer (KM) untuk tiba di rumah pelanggan berkenaan.

“Saya bukan seorang yang pemarah jadi hanya terdiam dan berlalu pergi sebaik pelanggan itu memaklumkan mahu membatalkan pesanan.

“Namun, saya tidak dapat menahan sedih hingga mengalirkan air mata sewaktu memandu pulang ke rumah dan anak saya menyedarinya hingga bertanya mengapa menangis dan pertanyaannya yang membuatkan saya jadi bertambah sebak.

“Ikutkan, sudah beberapa kali saya berdepan situasi sebegini tetapi kisah kali ini mungkin mendapat perhatian selepas saya berkongsi pengalaman itu di Fb,”katanya.

Menurut Nur Su’aidah, hantaran dimuat naiknya itu sekadar luahan dan bukan sesiapa berniat untuk meraih simpati sesiapa.

Namun,Nur Su’aidah berharap kisah itu menjadi peringatan buat semua supaya belajar menghormati masa peniaga atau sesiapa yang berurusan dengan mereka.

“Sebenarnya, saya memang sering berkongsi mengenai pengalaman saya sebagai pesakit MS di Fb kerana minat menulis jadi doktor mengesyorkan saya meluahkan apa yang terpendam menerusi penulisan.

“Cuma, saya tidak sangka ramai yang memberi maklum balas menerusi komen kerana hanya dapat membaca dengan jelas beberapa saja berikutan penglihatan kiri yang bermasalah.

” Apa pun, saya terharu dengan keprihatinan semua dan ia terbukti apabila ramai yang menghantar kiriman Whatsapp untuk membuat pesanan termasuk dari Sabah, Sarawak dan Singapura,” katanya yang mencari rezeki untuk meringankan beban suami selain membeli keperluannya iaitu susu formula yang disyorkan doktor.

kredit harian metro