BANGKOK – Seekor rusa liar ditemukan mati selepas tertelan 7kg beg plastik dan sisa sampah lain, menurut pihak berkuasa semalam.
Pengarah Kawasan Dilindungi di Taman Negara Khun Sathan, Kriangsak Thanompun berkata, beg plastik yang dikeluarkan daripada perutnya dipercayai sebagai salah satu punca kematian haiwan berusia 10 tahun itu.
“Kehilangan rusa itu adalah satu lagi tragedi akibat masalah sisa plastik yang semakin membimbangkan di negara ini. Ia jelas menunjukkan kita perlu mengambil langkah serius untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan menggantikan dengan produk mesra alam,” katanya.
Beberapa veterinar memeriksa cebisan plastik yang ditemukan dalam perut rusa tersebut. – Foto AFP
Gambar yang dikongsi renjer Taman Negara itu menunjukkan antara plastik beg yang dikeluarkan termasuk bungkusan mi segera, plastik sampah, tuala dan seluar dalam.
Kejadian yang menimpa rusa itu berlaku beberapa bulan selepas anak dugong yang turut tertelan plastik dilaporkan mati akibat jangkitan.
Ketika ini, beberapa peruncit utama termasuk kedai serbaneka, 7-Eleven berjanji untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna menjelang Januari ini. – AFP