Tip Tentukan Bancuhan Roti Jala Cukup Likat Menjadi Cantik

Sebelum buat menu ini untuk sarapan atau makan petang, kenalah tahu asas buat roti jala yang cantik iaitu cara bancuhan atau adunan tepungnya.


Bagi yang dah biasa buat mungkin sudah tahu sukatan atau bancuhan tepung yang sesuai, tapi buat yang baru mencuba atau amatur, boleh ikut tip mudah yang dikongsi oleh Huda Ayob ini.

Katanya untuk pastikan adunan roti jala dah cukup likat untuk ‘dijalakan’ dan hasilnya menjadi, boleh lihat pusaran waktu kisar atau blend bancuhan.

Tip pastikan bancuhan roti cukup likat,  tengok lubang pusaran

Saya cuba share ilmu mudah buat roti jala. Bagi pembuat roti jala amatur macma saya, setiap kali nak tau adunan tepung dah cukup likat untuk dijalakan cuma tengok “lubang pusaran”.

Pastikan saiz pusaran sebesar jari kelingking

Kalau besar pusaran (gambah di bawah), tambah tepung sedikit sampai saiznya sebesar “jari kelingking”.

Saiz pusaran sebesar jari kelingking seperti gambar di bawah ini tanda bancuhan dah sempurna dan likat untuk dijalakan.

Jika lubang pusaran kecil dari jari kelingking, tambah air sikit. Insya-Allah hasil menjala elok menjadi.

Cara buat roti jala 

Disertakan juga resipi yang digunakan untuk 25 biji roti jala

Bahan-bahan
1 biji telur
2-3 sudu besar santan/susu segar
2 cawan tepung gandum
1 cubit pewarna kuning/kunyit
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Air secukupnya

Cara membuat

1. Masukkan semua bahan dalam blender.

2. Kemudian masukkan air sampai tenggelam tepung (dalam 2 cawan air/ikut cawan sukatan tepung)

3. Kacau untuk sebatikan guna sudip panjang.

4. Kemudian boleh kisar. Waktu inilah kena perhatikan lubang pusaran.

5. Dah dapat bancuhan yang sesuai masukkan dalam botol 5 corong untuk dapatkan hasil jala yang halus.

Tip ini juga boleh digunakan sewaktu membuat bancuhan kuih ketayap. Cuma lubang pusaran perlu besar (tambah air) supaya senang untuk ratakan dalam pan.