230 Penumpang Kapal Terbang Cemas, Kapten Kapal Mendarat Di Ladang Jagung Secara Mengejut

Sebuah pesawat Airbus Rusia membawa lebih 230 penumpang terpaksa melakukan pendaratan cemas di atas ladang jagung di pinggir Moscow hari ini, selepas dirempuh sekumpulan burung camar, kata pihak berkuasa.


Agensi pengangkutan udara Rosaviatsia dalam satu kenyataan berkata, Ural Airlines, A321 membawa 226 penumpang dan tujuh anak kapal dalam penerbangan dari lapangan terbang Zhkovsky Moscow ke Simferol Crimea.

Sekumpulan burung itu dikatakan merempuh sebaik saja pesawat berlepas, menyebabkan kerosakan pada enjin dan memaksa juruterbang membuat pendaratan cemas.

Jelas kenyataan itu, pesawat tersebut melakukan pendaratan di ladang jagung, kira-kira satu kilometer dari landasan dengan keadaan enjin dimatikan dan tayar pesawat sempat dikeluarkan ketika mendarat.

Semua penumpang berjaya dikeluarkan daripada pesawat dengan beberapa orang dibawa ke hospital manakala selebihnya kembali ke lapangan terbang.

Menurut kementerian kesihatan, seramai 23 orang dimasukkan ke hospital termasuk sembilan kanak-kanak tetapi tidak ada penumpang yang mengalami kecederaan teruk.

Sementara itu, juruterbang pesawat terbabit, Damir Yusupov dari Yekaterinburg diangkat sebagai wira kerana tindakan pantasnya menyelamatkan ratusan nyawa penumpang.

“Krew Ural Airlines menunjukkan ketenangan luar biasa. Dia (Yusupov) dan krewnya telah menyelamatkan 233 nyawa,” kata Gabenor Yekaterinburg, Yevgeny Kuyvashev. – AFP