Amerika Alami Kebakaran Yang Mengerikan, Langit Sampai Jadi Merah, Rakyat Takut Untuk Keluar Rumah

Baru awal tahun ini kita menyaksikan kebakaran hutan di Australia yang telah meragut berjuta nyawa haiwan liar dan eksotik di negara itu, kali ini kawasan pantai barat Amerika Syarikat pula menghadapi nasib yang sama.


Kebakaran yang sedang melanda Oregon, Washington, dan California pada ketika ini tidak dapat dinafikan sangat menakutkan. Kawasan-kawasan tersebut marak dengan api liar yang tidak terkawal sehingga menjadikan langit merah.

Di Oregon, sekurang-kurangnya 35 kebakaran aktif sedang membakar hampir 370,000 ekar tanah, sehingga menjadikan sebuah hutan ajaib yang menjadi lokasi tarikan pengunjung kelihatan seperti dunia dalam mimpi buruk.

Beberapa gambar yang dikongsikan di Twitter menunjukkan kawasan hutan yang dipanggil Enchanted Forest dan dihiasi dengan patung-patung watak cerita dongeng itu kelihatan sangat menyeramkan.

Sementara itu ramai pengguna lain yang turut berkongsikan gambar langit berwarna merah di kawasan bandar pada waktu-waktu berbeza, di mana asap dan abu telah menyekat cahaya matahari di seluruh pantai barat negara itu.

Perubahan iklim memainkan peranan besar dalam menjadi kebakaran hutan seburuk ini dengan membuat gelombang panas lebih teruk sekali gus mengeringkan kawasan hutan.

Malah saintis iklim di National Center for Atmospheric Research juga mengatakan walaupun fenomena ini sangat mengerikan, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana mereka telah meramalkan perkara seperti itu akan berlaku tahun ini jika perubahan iklim tidak diperbaiki.

kredit HCL