Dulu Masa Muncul Semua Berhijab, Sekarang Semua Dah Terbang “Bahiyya Haneesa Tak Kisah Ahli Tidak Bertudung”

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Pernah dikenali kumpulan nasyid di Universiti Malaya (UM), Bahiyya Haneesa kini mendedahkan diri mereka sebenar.

Melancarkan Material tahun lalu dengan kesemua ahlinya berhijab, Percaya tahun ini menyaksikan perbezaan.

“Kami bukan kumpulan nasyid cuma masa kami mula bersama syarikat rakaman, mereka bentuk kami seperti kumpulan nasyid.

“Pada masa itu, kami rasa itu caranya dan kami cuba gunakan jalan itu.

“Sejajar peralihan masa, kami rasa ia tidak sesuai dengan diri masing-masing dan di luar saya memang begini,” kata Nina, nama popular Nurul Amaninah Pius.

Nina mahu menjadi diri sendiri dan tidak mahu berselindung di sebalik hijab. — Foto oleh Shafwan Zaidon.

Bahiyya Haneesa ditubuhkan pada 2016 dalam misi menyertai festival nasyid UM. Mengambil nama bersempena kolej kediaman kedua UM Tuanku Bahiyah, kumpulan ini disertai Shasha, Wafa, Fatin, Afi, Bonn, Bella dan Suha.

Nina berkata walau berbeza dengan ahli kumpulan lain namun pendekatan itu diterima masyarakat ramai.

“Mereka nampak kami sudah berubah tetapi masa di UM kami masuk pertandingan nasyid dan bukan bernasyid sepanjang masa.

“Kami rasa tidak mengapa. Jangan hiraukan sangat pandangan orang lain. Apa yang penting kami buat apa yang kami mahu dan menjadi diri sendiri.

“Banyak komen positif diterima. Mereka beritahu Percaya sangat memberi inspirasi. Tidak banyak komen negatif.

“Ramai yang menyokong sebab saya tidak melayan komen negatif. Jadi mereka rasa susah untuk jatuhkan saya sebab saya tidak layan. Jadi mereka biarkan sahaja,” katanya.

Nina (kiri), Shasha, Wafa dan Fatin ketika menghadiri wawancara bersama ProjekMM. — Foto oleh Shafwan Zaidon.

Artikel Berkaitan   Statistic Perceraian Setiap Jam Di Malaysia Sangat Menakutkan. Inilah Rahsia Nabi Dapat Kekalkan Rumahtangga

Bagi pelajar jurusan undang-undang, Shasha pula berpandangan setiap ahli kumpulan Bahiyya Haneesa diberikan kebebasan menentukan hala tuju masing-masing.

Katanya, kebebasan penting agar kumpulan yang dibina dengan pelbagai latar belakang mampu bertahan lama.

“Kami tiada halangan untuk sesiapa menjadi diri masing-masing. Kami terima mereka seadanya.

“Kami serahkan sepenuhnya kepada mereka. Apa sahaja yang membuatkan mereka lebih gembira.

“Jika ada yang mahu berubah pun tidak mengapa, kami lindung satu sama lain asalkan tidak mengganggu dan membahayakan orang lain,” katanya.

Ditanya kecaman yang bakal diterima kerana pernah menyampaikan irama nasyid, Shasha berkata kejujuran lebih utama. Katanya, setiap orang bebas mempunyai pandangan masing-masing dan sukar memenuhi kehendak ramai.

“Lagu pertama dahulu isunya adalah keseragaman. Kalau seorang tidak bertudung nampak pelik, kalau hadiri jemputan muslimah kurang sesuai.

“Tapi akhirnya kami fikir hidup ini bukan untuk seragam atau sedap mata memandang. Ia kena dari hati. Kita tidak boleh paksa seseorang.

“Saya tidak labelkan diri saya sebagai muslimah tetapi seorang wanita yang cuba menjadi lebih baik.

“Bila kita labelkan diri kita seseorang, tekanan kembali kepada diri sendiri kerana orang menjangkakan sesuatu.

“Saya tidak mahu tekanan itu. Saya mahu buat sesuatu ikhlas dari hati bukan kerana warga maya,” katanya.

Wafa, nama popular Nur Wada Amira Hisamudin, pula berharap kumpulan itu kekal konsisten dengan penampilan masing-masing.

“Kita doakan yang baik-baik kerana semuanya tidak boleh dijangka.

“Sekarang ini pun cuma Nina seorang sahaja. Saya berharap pada masa akan datang kekal dan konsisten,” katanya.

kredit projekmm