“Sudah-Sudahlah, Media Hiburan Yang Masih Mengadakan Pertandingan, Berhibur Terkinjal-Kinjal”- Ustaz Haslin Bollywood

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Semua pihak terutama pengamal media diminta menghentikan program berbentuk hiburan ketika seluruh negara terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pendakwah Ustaz Haslin Baharim atau terkenal dengan panggilan ‘Ustaz Bollywood’ berkata, program hiburan tidak sesuai diadakan ketika seluruh masyarakat berdepan musibah virus pembunuh itu.

Jelasnya, program hiburan tidak membawa kepada kebaikan malah, jauh sekali diredhai Allah SWT.

“Sudah-sudahlah, media hiburan yang masih mengadakan pertandingan hiburan tu sudah-sudahlah tangguhkanlah dulu. Tak datang kebaikan pun, berhibur terkinjal-kinjal sedangkan saudaramu menderita di seluruh negara,” katanya di media sosial sambil memuat naik foto serta kata nasihat pendakwah Allahyarham Datuk Ustaz Haron Din.

Ustaz Haslin terkenal kerana sering melakukan kerja dakwah di seluruh negara dengan menggunakan pendekatan jenaka dan nyanyian.

Sebelum ini, Ustaz Haslin pernah menerima teguran daripada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang bimbang dengan aliran dakwah semasa menjurus kepada penglipur lara.

Bagaimana pun, Ustaz Haslin mempertahankan teknik dakwahnya terutama bagi menarik perhatian dan kehadiran golongan muda.

Terdahulu, Ustaz Haslin menyeru umat Islam terus patuh kepada ajaran agama dengan meninggalkan perkara mungkar di sisi Allah SWT.

Menasihati tidak meninggalkan solat dan menutup aurat, Ustaz Haslin turut menyeru agar menghindari gejala fitnah.

“Sahutlah seruan ulama, tinggalkanlah maksiat, jauhilah kemungkaran, perbanyakkanlah taubat dan istighfar. Yang tak solat, solatlah…yang tak menutup aurat tutuplah auratmu…yang suka menfitnah berhentilah dan minta maaflah,” katanya lagi.

kredit projekmm

Artikel Berkaitan   BERUBAH SEJAK AKU AMALKAN SURAH AL-KAHFI