Lelaki Mengaku Dirinya ‘Nabi’ Dan Mempunyai ‘Mukjizat’ Larikan Diri Gara-Gara Takut Dibunuh

LILONGWE – Shepherd Bushiri yang mengaku dirinya sebagai ‘nabi’ dan mempunyai ‘mukjizat’ telah melarikan diri ke Malawi selepas dibebaskan dengan ikat jamin di Afrika Selatan.


Di bawah perintah ikat jamin itu, Bushiri dan isterinya, Grace bagaimanapun tidak dibenarkan meninggalkan wilayah Gauteng.

Bagaimanapun, dia mendakwa terpaksa meninggalkan negara itu kononnya kerana bimbang dengan keselamatan nyawanya.

“Ada bukti jelas terhadap cubaan untuk membunuh keluarga saya. Kami tidak mendapat sebarang jaminan perlindungan. Kami larikan diri ke Malawi untuk selamatkan diri. Kami perlu terus hidup untuk memberi keterangan,” katanya.

Terdapat beberapa spekulasi yang mendakwa Bushiri berbuat demikian dengan ‘bantuan’ Presiden Malawi, Lazarus Chakwera yang mengadakan lawatan selama dua hari ke Afrika Selatan dan kembali semula ke Lilongwe semalam.

Bagaimanapun, jurucakap Chakwera menafikan ‘nabi palsu’ itu menaiki jet presiden.

Bushiri yang sering mempamerkan gaya hidup mewah dan membuat pelaburan besar dalam sektor perlombongan dan telekomunikasi ditahan bulan lalu selepas berdepan tuduhan penipuan dan pengubahan wang haram bernilai jutaan dolar.

Difahamkan, hasil kekayaan lelaki tersebut sebenarnya diperoleh daripada para pengikutnya di gereja Englightened Christian Gathering di Pretoria. – AFP

kredit sinar harian