SEORANG tukang keranda di Indonesia menjadi jutawan segera selepas satu bongkah batu didakwa meteorit jatuh menembusi bumbung rumahnya.
Josua Hutagalung, 33, ketika itu berada di dalam rumahnya apabila meteorit sebesar bola sepak itu terhempas ke bumbung di bahagian beranda rumahnya.
“Saya sedang bertukang, menyiapkan tempahan keranda di depan rumah dan kemudian saya terdengar bunyi hentakan kuat yang turut menggegarkan rumah saya.
“Ia bagai ada sebuah pokok yang tumbang,” katanya.
Jelas Josua lagi, pada awalnya batu itu agak panas untuk dialihkan, lalu dia dan isterinya menggunakan cangkul untuk mengangkutnya.
Setelah diperiksa oleh pakar, batu tersebut dipercayai berusia 4.5 bilion tahun dan merupakan salah satu meteorit yang terhebat pernah ditemukan.
Jelas lelaki berasal dari Kolang di Utara Sumatera itu, dia sudah menjual batu seberat 2.2 kilogram itu kepada seorang pengumpul setelah ditawarkan wang berjumlah £1.4 juta (kira-kira RM7.6 juta).
Bapa kepada tiga orang anak itu berhasrat untuk menggunakan wang tersebut bagi membina sebuah gereja di kampungnya.
Sementara itu, pembeli yang juga pakar batu angkasa Jared Collins berkunjung ke rumah Josua bagi mendapatkan meteorit itu.
“Telefon saya dihujani pelbagai tawaran untuk membeli meteorit tersebut.
“Biarpun kita berada di dalam pandemik COVID-19, saya terdorong untuk membeli batu tersebut, untuk bekerjasama dengan saintis dan pengumpul di AS.
“Saya juga membawa sejumlah wang dan mencari Josua untuk mengadakan sesi tawar-menawar,” katanya.
Collins kemudiannya membawa batu angkasa itu ke AS dan ia dibeli oleh seorang pengumpul dan batu itu kini ditempatkan di dalam kotak penyimpanan cecair nitrogen di Pusat Pengajian Meteor Universiti Kebangsaan Arizona.
kredit astro awani