Gara-Gara Terlalu Ambil Berat Dengan Kawan Sendiri, Ibu 2 Anak Ini Tidak Sangka Rakan Sendiri Sanggup Rampas Suaminya

BAHTERA perkahwinan selama 10 tahun yang dilayari oleh Ina (bukan nama sebenar), 37, hancur berkecai angkara sahabat baiknya sendiri.


Sungguh tidak sangka, Sara (bukan nama sebenar) yang sudah dianggap sebagai adiknya sendiri sanggup menikam Ina dari belakang.

“Kami berdua sudah berkawan sejak di sekolah menengah dan sangat menyayangi antara satu sama lain.

“Sejak dahulu lagi kami akan sentiasa bersama dalam susah dan senang,” cerita Ina memulakan bicaranya.

Pada awalnya, semua berjalan dengan baik. Mereka berdua hidup bahagia dengan lelaki pilihan masing-masing.

Sehinggalah suatu hari, suami Sara meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sewaktu hendak ke tempat kerja.

Sara yang dikurniakan lima orang cahaya mata itu bagaikan hilang tempat bergantung setelah ketiadaan suami.

“Sungguh saya tidak sanggup melihat sahabat yang disayangi itu hidup merana dan hati ini meronta ingin menghulurkan apa jua bantuan.

“Boleh dikatakan setiap minggu saya akan menjenguk Sara di kediamannya bagi memastikan dia yang mempunyai anak-anak kecil itu berada dalam keadaan baik,” tutur wanita yang berasal dari Pantai Timur itu.

Sekiranya Ina tidak berkesempatan, maka suaminya akan pergi ke rumah Sara untuk menghantar barangan atau wang yang dikirimkan kepada wanita tersebut.

Begitulah rutin mereka suami isteri membantu Sara dan anak-anak kecilnya itu.

“Sara bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami di samping mengambil upah menjahit baju.

“Suaminya dahulu mempunyai pekerjaan yang bagus dan hidup mereka sekeluarga agak senang,” tutur ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Jelas Ina, Sara turut membantu dia dan suami memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Syukur atas bantuan Sara itu, perniagaan Ina dan suami makin berkembang maju.

“Saya lega, selepas hampir setahun pemergian suaminya itu Sara mula mengukirkan senyuman dan nampak bahagia terserlah pada wajahnya itu.

“Kami juga sering mengadakan jamuan bersama dan suasana itu cukup menyenangkan hati saya melihat sahabat baik telah pulih daripada kedukaannya,” terang anak sulung daripada lima beradik itu.

Namun, di sebalik kegembiraan sahabatnya itu, Ina mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Kemesraan antara suaminya dan Sara sungguh mencurigakan, begitu juga pandangan mata mereka berdua.

“Pada mulanya saya cuba menenangkan hati dan menganggap perasaan curiga itu sebenarnya datang daripada syaitan yang cuba memecah-belahkan kami.

“Setiap kali datang rasa curiga itu, saya menyangkal sekerasnya dan cuba untuk menidakkan naluri seorang wanita,” katanya sambil memejam mata mencari kekuatan untuk meneruskan cerita.
Sehinggalah suatu hari, kedua-dua mereka mengaku sedang hangat dilamun cinta dan meminta izin untuk berkahwin.

Ina tidak menyangka Sara yang berperwatakan baik dan lemah lembut itu sanggup menggoda suami sahabat baiknya sendiri.

“Sara memberi alasan yang dia jatuh cinta dengan sikap bertanggungjawab suami saya dan berasakan dialah orang terbaik untuk menggantikan tempat arwah serta menjadi pelindung buat dirinya serta anak-anak.

“Ketika mendengar setiap perkataan yang keluar daripada mulut Sara itu, saya hanya mampu mengalirkan air mata dan badan terasa longlai menunggu masa untuk rebah,” tuturnya sambil mengesat air mata.

TANPA diduga, rumah tangga Ina bergoncang angkara orang ketiga yang merupakan sahabat karibnya sendiri.
– gambar hiasan

Dalam nada sebak, Ina bertanya adakah mereka benar-benar nekad untuk berkahwin dan kedua-duanya menganggukkan kepala.

Ketika itu, jantung Ina dirasakan terhenti tiba-tiba dan pandangan menjadi gelap sehingga dia rebah.

Beberapa hari selepas itu, setelah tenaga kembali pulih, Ina meminta suami memilih sama ada dirinya atau Sara.

Dia tidak sanggup hidup bermadu dan pada masa sama terasa sakit kerana dikhianati oleh dua orang yang disayanginya.

“Suami enggan memilih kerana masih sayangkan saya dan pada masa sama cintakan Sara.

“Setelah berfikir panjang, saya memutuskan untuk ‘pergi’ kerana tidak sanggup lagi meneruskan perkahwinan yang sangat menyakitkan ini,” katanya.

Setelah didesak, suami Ina akhirnya bersetuju untuk melafazkan talak ke atasnya. Perceraian mereka kemudian disahkan di sebuah mahkamah syariah.

Ina kini tabah membesarkan dua orang anaknya seorang diri tanpa perlu menyimpan rasa sakit hati kepada pihak lain.

————————————————————————————————————————————————————————————————————————————

Nota: Artikel ini ditulis bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk tujuan iktibar dan pengajaran semata-mata.

kredit kosmo