Andi Bernadee Terima 30 Kotak Daripada Peminat Misteri Tapi Ia Datang Dengan Permintaan Pelik

Kuala Lumpur: Penyanyi Andi Bernadee menerima 30 kotak hadiah daripada seorang peminat misteri sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-29, Ahad lalu.


Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berkata, dia terharu dengan pemberian peminat terbabit yang cukup kreatif serta menarik.

“Terkejut juga dengan kegigihannya menyediakan 30 kotak hadiah sekali gus. Dia meminta saya membuka satu persatu hadiah mengandungi kata-kata ucapan setiap hari.

“Dia mahu setiap hadiah menjadi kejutan tapi saya buka terus saja semuanya. Ini kerana dia tersalah salah tarikh dan menyuruh saya membukanya bermula 1 November sedangkan tarikh lahir saya adalah 30 November. Dia sebenarnya mahu saya membuka hadiah itu bermula1 Disember.

“Apapun, saya harus memuji usahanya yang ternyata begitu menyentuh hati. Individu yang bagi hadiah ini mesti sangat rajin dan orangnya berperwatakan menarik,” katanya.

Menurut Andi, hadiah itu berupa kotak-kotak kecil yang mengandungi barangan makanan.

Pada sambutan hari jadi penyanyi Donde itu baru-baru ini juga, dia tidak ketinggalan mendapat kritikan segelintir warganet yang tidak setuju dibaling tepung oleh rakannya.

Andi berkata insiden itu tidak diketahuinya dan dirancang rakannya. Dia mengakui pembaziran tepung berkenaan memang tidak sepatutnya berlaku dan sudah menasihatkan rakannya.

“Saya mengambil iktibar daripada insiden itu dan berharap ia takkan berulang lagi. Saya pun sudah nasihatkan rakan terbabit supaya tidak melakukan kejutan sebegitu.

“Saya akui tindakan itu tidak elok dan tidak patut dicontohi. Ia satu pembaziran apalagi di saat ada di antara kita ketika ini sedang berdepan kesusahan. Apapun, terima kasih kepada semua yang memberi teguran itu,” katanya.

kredit harian metro