Lelaki Nak Beli Absorber Kat Bengkel Seorang Wanita, Sudahnya Absorber Tak Beli Lagi, Tapi Kahwin Pulak Dengan Wanita Berkenaan Raih Ribuan Share

Bila bercakap perihal jodoh, yakinlah bahawa setiap orang sememangnya sudah ditakdirkan untuk berpasangan. Cepat atau lambat, jodoh pasti akan sampai jua bila tiba waktunya.


Terkadang, jodoh datang dalam pertemuan yang tidak disangka dan tidak dibayangkan sebelum ini. Seperti yang dilalui oleh pasangan ini yang memulakan perkenalan kerana spare part kereta.

Menerusi kiriman yang dikongsikan Fakhrullah Yusup di Facebook, dia menunjukkan tangkap layar perbualan dirinya dan isteri di messenger yang bermula dari hanya ingin membeli absorber kereta dan seterusnya bertukar nombor telefon.

Perbualan itu menarik perhatian ramai kerana langkah ‘smooth’ yang dilakukan oleh Fakhrullah Yusup dalam memikat hati isterinya.

Dihubungi oleh SK, Fakhrullah mengatakan bahawa dia ingin membeli absorber kereta tetapi tidak tahu hendak dibeli di mana. Justeru, dia bertanya pada isterinya yang  merupakan pemilik bengkel kereta.

“Disebabkan saya kenal isteri saya ni dari keluarga saya jugak, saya terus DM dia saja nak tanya harga,” katanya.

Tidak berakhir di situ, isterinya dikatakan selalu memberi reaksi tanda suka pada gambar-gambarnya. Sejak itu, mereka sering berbalas mesej dan menghubungi satu sama lain sehingga ke jinjang pelamin.

Menurut Fakhrullah, mereka baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 15 Mei yang lalu. Perkongsiannya itu menarik perhatian ramai sehingga mendapat sebanyak 1000 perkongsian di Facebook.

Tahniah diucapkan buat Fakhrullah dan pasangan, semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke syurga.

kredit borak daily