Pemergian kanak-kanak berusia 7 tahun yang digilis pemandu van sekolah dinaikinya di Taman Dahlia,Bandar Baru Salak Tinggi semalam sememangnya memberi kesan kepada raami orang apabila rakaman CCTV kejadian tersebut tular di media sosial.
Adik Nur Alisha Safiya dimaklumkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan selepas mengalami kecederaan parah di kepala selepas van yang menurunkan para penumpang ke pusat transit bergerak ke hadapan dan melanggarnya.
Kata nak pergi jauh
Menerusi laporan dari Berita Harian, nenek kepada Alisha, Mahani Hamid, 68 ketika ditemui memaklumkan menantunya ada memberitahu yang Alisha pernah berkata mahu pergi jauh dari keluarga ketika kali terakhir mereka bertemu semasa pulang ke kampung di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang pada hujung minggu lalu.
“Menantu beritahu, arwah pernah maklumkan mahu pergi jauh meninggalkan keluarga. Tak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,”
“Ketika itu, Nur Alisha Safiya cukup ceria, berbeza dengan sebelum ini yang mana dia seorang yang pemalu serta pendiam. Pada malam pertama di kampung, Nur Alisha Safiya tidak tidur hingga pagi dan menghabiskan masa bermain bersama sepupunya.
“Ketika mahu pulang, Nur Alisha Safiya bersalaman dan memeluk saya dengan lama, berbeza sebelum ini,” katanya ditemui di kediaman keluarga arwah.
Keluarga reda dengan ketentuan
Selain itu, abang sulung kepada allahyarham, Muhammad Aiman Firdaus, 16 memaklumkan ketika kejadian dia berada di rumah selepas selesai sesi persekolahan.
Bapa saudaranya telah datang ke rumah dan memaklumkan kejadian berkenaan. Dia yang rapat dengan adik bongsunya mengakui begitu terkejut dengan apa yang berlaku kira-kira jam 12.10 tengahari itu.
“Nur Alisha Safiya sangat rapat dan manja dengan saya kerana saya sering membantunya menyiapkan kerja sekolah selain dijadikan rujukan jika dia berdepan masalah pembelajaran.
“Pemergian Nur Alisha Safiya cukup mengejutkan, rumah pasti sunyi selepas ini. Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.
Sumber: Berita Harian (Samadi Ahmad), kredit gambar FB Mahani Saad