Asif Kalahkan Pelawak Senior, Syahmi Sazli Bangga Dengan ‘Insan Istimewa’

YouTuber terkenal tanah air, Syahmi Sazli bangga dengan kejayaan sepupunya yang juga pelakon Asif Suhaimi apabila meraih trofi Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 malam tadi.


Menurut laporan BH Online, ia sekali gus dapat menepis dakwaan kononnya YouTuber berusia 26 tahun itu mengambil kesempatan ‘mempergunakan’ Asif yang juga seorang autisme bagi meraih keuntungan.

“Semestinya saya tumpang bangga untuk insan istimewa seperti dirinya yang boleh meraih sokongan peminat. Apatah lagi menewaskan nama besar yang bukan calang-calang.
“Kemenangan itu diharap tidak lagi menjadi modal topik mendakwa saya mempergunakan orang istimewa seperti mereka untuk kepentingan peribadi.
“Niat saya hanya hendak membantu. Selebihnya, bakat mereka diperhatikan dan dibuka pintu rezeki. Ini boleh beri manfaat kepada mereka termasuk menjana pendapatan sendiri,” katanya yang membawa Asif ke layar perak.

Bercerita lanjut, pengarah Mael Totey The Movie itu pada mulanya meminta isterinya Anissa Faizul menemani Asif ke acara berprestij tersebut namun berubah fikiran selepas ‘dipujuk’ wartawan BH.

“Saya diberitahu kemenangan Asif akan jadi lagi bermakna dan dikenang jika saya ada di sisinya. Saya berterima kasih kepada mereka yang sudi mengundi untuk Asif.
“Terima kasih BH dan ABPBH 34 atas penganjuran acara ini,” ujar Syahmi atau nama penuhnya Muhammad Syahmi Sazli.

Tidak membawa pulang trofi sendiri walaupun tercalon dalam empat kategori, YouTuber dari Kota Bharu, Kelantan itu tetap dengan rezeki ditetapkan Allah SWT.

“Tak mengapa, saya percaya ini permulaan. Apa yang lebih utama, saya terus berkarya.
“Insya-Allah, saya akan mengarahkan filem kedua berjudul 35 MM yang turut dibintangi Asif, tidak lama lagi,” kongsinya.

Sumber: BH Online (Zaidi Mohamad) , Instagram Syahmi Sazli & Asif Suhaimi