Aiman Hakim Bongkar Saat Tertarik Hati Dengan Zahirah. Rupa-Rupanya Zahirah Mcwilson Pun Rasa Yang Sama

Tambah lelaki berusia 30 tahun itu, dia mengenali Zahirah sejak tiga tahun lepas tetapi hanya menjadi akrab pada November tahun lalu selepas wanita itu mula rajin bertanya khabarnya.

“Percaya atau tidak, saya ajak Zahirah kahwin hanya selepas tiga kali bertemu janji kerana saya mempunyai satu perasaan iaitu yakin bahawa dia jodoh saya.

“Ketika itu, sekitar Januari dan kami sedang menjalani penggambaran Curi-Curi Cinta. Saya dan dia memang sudah menjadi pasangan kekasih sebelum itu dan kami bertunang pada 8 Jun lalu,” jelas Aiman dalam sidang akhbar bagi mengumumkan tarikh pernikahan mereka di Bakersfellas, Ara Damansara, kelmarin.

Istimewa

Ironi, biarpun pada jemputan media secara jelas menyatakan majlis tersebut adalah untuk memberitahu tarikh hari bahagia mereka, rupa-rupanya perkara tersebut masih dalam perbincangan kedua-dua belah pihak.

Hanya mengesahkan memilih Februari 2020 sebagai bulan pernikahan, Zahirah berkata buat masa sekarang, hanya itu sahaja yang dapat dikongsikan kerana tarikh sebenar bergantung kepada kekosongan lokasi pilihan mereka.

Ditanya tentang pemilihan Februari yang terkenal dengan jolokan bulan cinta, Zahirah berkata Februari adalah bulan kelahirannya. Dia mahu menjadikan bulan tersebut lebih istimewa pada tahun hadapan.

“Lagipun, banyak tarikh yang cantik pada bulan Februari tahun hadapan. Jadi, kami masih berbincang.

“Saya harap sangat dapat berkongsi lebih banyak maklumat namun buat masa sekarang, ini sahaja yang boleh disahkan. Doakan semua urusan dipermudahkan dan setiap perkembangan akan diberitahu dari masa ke masa,” jelasnya panjang lebar.

Matang

Bercerita soal keistimewaan pasangan di mata masing-masing, Aiman dengan pantas menyatakan kematangan Zahirah antara sebab hatinya tertawan.

Biarpun baru berusia 24 tahun, Aiman melihat Zahirah sebagai seorang wanita yang boleh berkongsi susah senang dan bijak meredakan perasaannya jika dalam kemarahan atau keresahan.

“Mulanya saya sukar untuk percaya Zahirah benar-benar sukakan saya sehinggalah kami meluangkan masa bersama dan naluri saya kuat memilih dia,” ceritanya sambil mengerling Zahirah di sisi.

Zahirah yang pernah meminati Aiman secara diam-diam sewaktu awal penglibatan dalam dunia seni pula terbuka pintu hati untuk menerima lamaran lelaki itu kerana keikhlasan yang ditunjuk sepanjang perhubungan.

“Bagi saya, lelaki yang serius akan bawa saya berjumpa keluarganya dan tidak takut untuk bertemu keluarga saya juga.

“Saya dapat rasa sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri apabila bersamanya. Saya cintakan dia, mungkin itu sahaja jawapan yang ada,” ulasnya tersipu malu.

Bakal mengadakan sebuah majlis untuk kedua-dua belah pihak di ibu kota, Aiman dan Zahirah tidak berhajat merahsiakan tarikh dan lokasi pernikahan kelak kerana mahu berkongsi rasa bahagia dengan semua pihak yang mendoakan mereka.