Aktif Meng”Upload” Gambar Di Media Social Tiba-Tiba Rakan Perasan Tiada Lag “Update”, Rupanya Gadis Ini Terjatuh Di 2KM Ke Bawah

HUAYIN – Ghairah mahu menghantar gambar berswafoto kepada rakan-rakannya, seorang mahasiswa maut apabila terjatuh dari tebing Gunung Hua Shan, China.


Siswa dikenali Deng itu terjatuh pada ketinggian 2,000 meter dari lokasi namun sempat memuat naik gambar terakhirnya di laman sosial sebelum dikomen rakan-rakannya.

Menurut Oriental Daily, Deng mengambil banyak foto semasa dia berada di puncak gunung untuk diabadikan di laman sosialnya.

Dalam beberapa jam kemudian, rakannya mula menyedari Deng tidak membalas komen mereka hingga timbul rasa bimbang.

“Dia tidak respons maklum balas rakan-rakannya. Apabila ahli keluarga dan pihak universiti gagal menghubunginya, mereka segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa Hua Shan dimaklumkan mengenai kehilangan Deng. Mereka memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu mendapati seorang gadis telah terjatuh dari tebing.

“Dalam video itu, saya melihat bahawa terdapat lima pelancong dan dua orang kakitangan yang hadir pada masa itu. Para pelancong mengambil foto dan menikmati pemandangan.

“Deng dapat dilihat berdiri di pinggir tebing sebelum membelakangkan pemandangan dan berswafoto, mungkin mahu mencari ‘angle’ yang cantik, dia hilang keseimbangan dan jatuh,” kata pihak berkuasa tempatan.