Allahuakbar! Hebatnya Kelebihan Beribadat Di Mekah. Tak Terjangkau Pahala Berlipat Ganda

RATUSAN ribu jemaah sudah berada di Tanah Suci manakala sebahagian lagi berdebar-debar menunggu giliran untuk ke sana bagi menunaikan haji pada tahun ini.


Allah menjadikan tempat itu penuh keistimewaan dan keajaibannya tersendiri.

Dia membuatkan hati manusia cenderung untuk menziarahi tempat suci itu serta rindu untuk berada di sana.

Allah juga mengukuhkan cinta dalam hati manusia hingga mereka tidak dapat berpisah dengan tempat itu melainkan dengan perasaan teramat sedih.

Begitu gambaran Ibnu Batutah ketika menceritakan keistimewaan bumi Makkah dalam bukunya, Rihlah Ibn Batutah.

Hakikat itu digambarkan Allah dalam al-Quran melalui doa yang diucapkan Nabi Muhammad ketika membina Kaabah al-Musharrafah.

Selain itu, tempat berkenaan mempunyai pelbagai gelaran dan nama yang istimewa. Al-Imam an-Nawawi RA berkata: “Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan, sebagaimana banyaknya nama Allah dan nama Rasul-Nya. Kita tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain Makkah dan Madinah kerana kedua-duanya adalah sebaik-baik bumi. Disebabkan kerana banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya.”

Antara nama lain bagi Makkah dinyatakan dalam al-Quran ialah Bakkah (lembah air mata, Ali Imran: 96), Ummul Qura (perkampungan tua, al-An’aam: 92), Al-Balad (negeri, Ibrahim: 35), Al-Balad al-Amin (negeri yang aman, at-Tiin: 3) dan Al-Baldah (negeri, an-Naml: 91).

Selain itu, Haraman Amina (tanah suci yang aman, al-Ankabut: 67), Wadi Ghairu Dzi Zar’in (lembah yang gersang, Ibrahim: 37), Ma’ad (tempat kembali, al-Qashash: 85), Qaryah (negeri/kampung, Muhammad: 13) dan Al-Masjid al-Haram (al-Baqarah: 144)

Kelebihan Makkah banyak tercatat dalam al-Quran dan hadis Nabi. Antaranya sebagai tempat ibadat pertama di muka bumi Allah iaitu Baitullah.

Ia juga dijanjikan keamanan dan kemakmuran oleh Allah dan tempat yang diharamkan pertumpahan darah padanya. (rujuk surah al-Ankabut: 67)

Nabi Adam diperintahkan Allah untuk mendirikan Baitullah. Allah memberikan petunjuk berupa cahaya yang turun dari langit membentuk mihrab.

Jadi, tapak Kaabah itu berbentuk mihrab masjid, tetapi ketika pemerintahan Sultan Murad IV, bentuknya dipotong menjadi simetri.

Sisa potongan itu menjadi Hijr Ismail yang menjadi kawasan larangan bagi jemaah haji dan umrah masuk ke dalamnya ketika bertawaf kerana masuk ke situ sama dengan memasuki Kaabah.

As-syeikh Al-Maraghiy RA berkata, bangsa Arab sejak dahulu sepakat menghormati dan memuliakan Baitullah terutama selepas peristiwa bala tentera Abrahah al-Habsyi dari Yaman yang ingin meruntuhkan Kaabah sebelum kelahiran Rasulullah pada 570 Masihi.

Oleh itu, sejak dahulu sehingga kini Kota Makkah dijanjikan dengan keberkatan dan pahala berganda kepada sesiapa yang memasuki serta beribadat di dalamnya.

Bukan sahaja orang hidup dan beribadat di sana memperoleh kelebihan dan keistimewaan, bahkan orang yang meninggal dunia di bumi Makkah dan Madinah dijanjikan kelebihan tersendiri.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk orang yang mati di situ.” (Riwayat Ahmad)

Selain itu, di sana juga ada telaga zamzam yang mempunyai sejarah dan kelebihannya dalam merawat penyakit.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik air yang ada di muka bumi adalah zamzam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit.” (Riwayat Muslim)

Air zamzam tidak pernah kering sehingga hari ini walau diminum jutaan umat manusia.

Ini terbukti melalui kajian pernah dilakukan saintis Jepun, Dr Masari Emoto yang mendapati, air zamzam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain. Molekul air itu bercabang-cabang dan berkilauan serta begitu kukuh, strukturnya tidak berubah walau apa jua tekanan.

Malah, ia mampu merakam gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu dengan tepat.

Paling menyentuh perasaan ialah Makkah mempunyai banyak tempat mustajab untuk berdoa iaitu Hajar Aswad, Rukun Yamani, Multazam, Makam Ibrahim, Hijr Ismail, telaga zamzam, di Arafah saat berwukuf, tempat melontar Jamarah di Mina, Muzdalifah dan lain-lain.

Semoga Allah memberi peluang kepada kita menjadi Dhuyuf al-Rahman untuk melihat dan merasai kehebatan beribadat di kota Makkah.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)