
Berbagai jenis amalan dan cara untuk menurunkan berat badan yang dilakukan mereka yang ingin kurus dan menjaga badan. Amalan diet yang sering dibuat oleh ramai wanita yang kini popular adalah diet rendah karbohidrat iaitu diet Atkins, diet Ketogenik dan seumpamanya.
Walaupun keberkesanan diet tersebut begitu cepat dan penurunan badan yang berkesan selepas mengamalkannya, tetapi amalan diet seperti ini adalah amat membahayakan kesihatan jika diamalkan malahan ianya boleh meningkatkan risiko kematian.
Diet rendah karbohidrat atau juga dipanggil Low Carb.
Penjelasan tentang isu ini telah dikongsikan oleh Dato Dr Rushdan Noor iaitu Pakar Perunding Ginekologi Onkologi melalui satu kajian yang telah diperolehinya daripada Medical Unversity of Lodz.
AMARAN : DIET RENDAH KARBOHIDRAT (“LOW CARB DIET”) ADALAH TIDAK SELAMAT
Ramai yang mengamalkan diet rendah karbohidrat seperti diet Atkin’s, diet Ketogenik dan lain-lain lagi untuk menurunkan berat badan. Ada juga yang percaya diet ketogenik boleh mencegah dan merawat kanser.
Rupanya diet Ketogenik juga kurang selamat dan ada kesan sampingan.
Tingkatkan Risiko Kematian
Satu kajian prospektif yang besar telah dilakukan ke atas beribu-ribu orang oleh Professor Maciej Bonach daripada Medical University of Lodz mendapati individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kematian pramatang (“premature death”).
Risiko kadar kematian juga lebih tinggi ke atas penghidap sakit jantung koronari (51%), angin ahmar (50%) dan kanser (35%). Hasil kajian ini baru sahaja dibentangkan semasa Kongres ESC* 2018 pada 28hb Ogos 2018.
Satu meta-analisis yang lebih besar ke atas 7 kajian prospektif cohort melibatkan hampir 45 ribu orang peserta mendapati berlaku PENINGKATAN RISIKO KADAR KEMATIAN iaitu 15% bagi keseluruhan penyakit, 13% bagi penyakit jantung dan 8% bagi penyakit kanser oleh individu yang mengamalkan diet rendah karbohidrat.
Elak Diet Rendah Karbohidrat
Walaupun untuk jangkamasa pendek, diet rendah karbohidrat berkesan menurunkan berat badan, tekanan darah dan gula darah tetapi kesan jangkamasa panjang sangat membimbangkan.
Ia juga mempunyai kesan negatif kepada kesihatan untuk jangkamasa pendek. Jadi pada pandangan Ahli Sains Perubatan diet rendah karbohidrat lebih baik dielakkan.
Anda disarankan agar tidak mengamalkan diet rendah karbohidrat kerana ia boleh memudaratkan.
Bagi pesakit kanser, saya menasihati supaya jangan mengamalkan diet ketogenik ataupun mengamalkan pengambilan gula/karbohidrat yang terlalu rendah bersama dengan diet tinggi lemak dan protein.
Tiada bukti saintifik yang mengesahkan ianya dapat membantu pesakit kanser samada mencegah ataupun merawat penyakit mereka. Kemudaratannya lebih besar, jangan terpedaya dengan pendapat pengamal rawatan alternatif ataupun petua-petua yang palsu ini.
Dapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor yang berkelayakan jika ingin mengamalkan diet tertentu.
Dato Dr. Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
31hb Ogos 2018
* ESC: European Society of Cardiology
Rujukan:
Oleh itu, para wanita yang sedang atau masih lagi mengamalkan diet rendah karbohidrat dinasihatkan berhenti dengan segera sebelum memudaratkan diri sendiri. Masih lagi banyak cara untuk turunkan berat badan yang betul boleh diamalkan.
Jadi, segeralah menukarkan gaya hidup sihat anda dan juga mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang untuk kesihatan diri di sepanjang kehidupan.
Semoga perkongsian dari doktor pakar diet rendah karbohidrat ini akan bermanfaat dan berguna kepada semua.