“Apabila Saya Dimaklumkan Yang Noratiqah Menghidap Penyakit Buah Pinggang Kronik, Saya Meraung”

KUALA LUMPUR: “Sejak tiga tahun lalu, saya jarang memasak untuk suami. Syukur, kini saya mampu melakukannya, walaupun agak perlahan selepas pemindahan buah pinggang berjaya dilaksanakan,” kata Noratiqah Abd Latif, 32.

Noratiqah menerima buah pinggang kiri suaminya, Mohammad Hilmi Mohd Isa, 32, pada 28 Julai lalu pada pembedahan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Noratiqah, sebelum ini, banyak tugasan rumah dilakukan suaminya.

“Syukur ke hadrat Ilahi, kini saya mampu memasak untuk suami dan menguruskan rumah yang sebelum ini tugasan itu banyak dilakukannya.

“Saya sudah agak sihat. Sebelum ini, jika berjalan walaupun hanya 20 langkah, saya sudah rasa penat, kini tidak lagi,” katanya ditemui di rumahnya di Setapak di sini, semalam.

Menurut Noratiqah yang sebelum ini menderita kerosakan buah pinggang kronik tahap lima, dia bersyukur memiliki suami yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi melihatnya sihat seperti dulu.

Noratiqah berkata, dia dan suami akan sentiasa memantau tahap kesihatan di antara satu sama lain serta mengamalkan gaya hidup sihat.

“Dulu suami jaga saya, kini peranan itu perlu dipikul bersama. Perancangan kami selepas ini ialah akan sentiasa jaga pemakanan dan menuruti saranan doktor.

NORATIQAH bersama Mohammad Hilmi di rumah mereka.

“Kami juga merancang melakukan aktiviti rekreasi seperti berjoging dan bersenam apabila bertambah sihat.

Mohammad Hilmi pula memaklumkan, rutin kehidupannya selepas pembedahan tidak sama seperti dulu namun tidak menganggap ia sebagai beban seperti tidak boleh bekerja dalam tempoh terlalu lama.

Sebelum ini, Mohammad Hilmi mampu bekerja hingga 12 jam sehari namun setakat ini hanya mampu bertahan untuk enam jam.

Artikel Berkaitan   Ketika Sedang Leka Menggali Kubur, Lelaki Ini Terkejut Menjumpai Bom Lama Di Tanah Kubur

“Saya banyak terima mesej di Facebook bertanya mengenai langkah menjadi penderma.

“Apa yang saya dapat kongsikan ialah jangan takut dan jika betul-betul ikhlas menjadi penderma, jumpa pakar kesihatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat dan saranan,” katanya.

Mohammad Hilmi berkata, pengorbanannya dilakukan atas dasar cinta dan sayang kepada isterinya.

“Yang satu (isteri) ini sukar dicari, kalau dapat pengganti pun belum tentu sama dengan dia.

“Kerana itu, saya mahu menjaga dia sebaik mungkin sebab saya tak nak kehilangan dia, kalau boleh biar kita hidup bersama-sama hingga ke akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, ibu Noratiqah, Shamsulaini Ibrahim, 51, berkata, dia bersyukur kerana Mohamad Hilmi sanggup berkorban demi anak sulungnya itu.

“Apabila saya dimaklumkan yang Noratiqah menghidap penyakit buah pinggang kronik, saya meraung.

“Saya berterima kasih kepada Mohamad Hilmi yang sanggup melakukan pengorbanan besar ini,” katanya sebak.

Shamsulaini berkata, dia dan suami bercadang untuk menjadi penderma buah pinggang buat anaknya.

“Bagi saya. biarlah saya yang dermakan kerana umur mereka masih muda dan jauh lagi perjalanan dalam membina rumah tangga bersama. Namun menantu terlebih dahulu menyatakan hasrat itu.

“Semoga selepas ini, rumah tangga mereka lebih bahagia, sihat dan dikurniakan zuriat,” katanya.

kredit harian metro