
Seorang ibu dari Pahang telah menghantar anak sulungnya untuk belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi sesi persekolahan 2020.
Nurul Fadznie Ashikin Hairul, 27, menghantar anaknya ke sekolah berkenaan kerana bagi memenuhi hasrat ibu mentuanya yang mahu cucu-cucunya itu menguasai pelbagai bahasa.
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau dan suami memilih SJKT Karak sebagai pilihan untuk menghantar anak sulungnya, Siti Nur Husna Alifdin bagi mempelajari pelbagai bahasa lain, selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Tambahnya lagi, anak saudaranya juga dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina demi memenuhi impian ibu mentuanya itu.
“Ketika di tadika lagi, Husna mudah bergaul dan peramah dan kini sudah mampu berkomunikasi dalam bahasa Tamil walaupun masih belum fasih sepenuhnya.
“Buat masa ini saya dan suami tidak pernah mendengar kritikan atau kata-kata kurang enak dengan keputusan kami menghantar anak ke sekolah Tamil sebaliknya terima kata-kata positif dan rangsangan daripada ahli keluarga lain serta jiran-jiran,” katanya.
Sumber: Sinar Harian