Bermula Rasa Sakit Tekak, Ashraf Muslim Cerita Keadaannya Yang Tak Pernah Sunyi Sejak Di Hospital

“HARI-hari saya di sini tidak sunyi kerana ditemani dengan bacaan ayat suci al-Quran dan zikir daripada jemaah tabligh dan anak-anak tahfiz yang juga pesakit Covid-19,” kata pelakon, Ashraf Muslim mengenai keadaan dirinya di wad Hospital Sungai Buloh.

Ashraf, 39, dirawat di hospital itu sejak 12 April lalu apabila disahkan positif wabak Covid-19 selepas menjalani kuarantin diri sekembalinya dari menjalani penggambaran drama di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu.

Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim berkata, apa yang menimpa dirinya dianggap satu hikmah selain dapat bermuhasabah diri.

“Alhamdulillah, saya di sini okay. Saya bersyukur ditempatkan di wad ini kerana dapat menunaikan solat fardhu secara berjemaah dengan jemaah tabligh dan anak-anak tahfiz.

“Selepas solat ada bacaan taklim dan tazkirah ringkas. Memang tak pernah sunyi. Pendek kata dapat belajar muhasabah diri,” katanya kepada Harian Metro.

Ashraf berkata, dia dan pesakit lain diberi rawatan yang baik oleh petugas hospital.

Ashraf berharap dia segera diberi kesembuhan supaya dapat menyambut Ramadan dengan keluarga tercinta.

“Ini hari keenam saya di sini. Pada awalnya saya memang tidak ada sebarang gejala, tapi kelmarin saya baru terasa sakit tekak. Alhamdulillah, hari ini sudah surut.

“Pemeriksaan dibuat dalam dua ke tiga kali sehari. Buat masa sekarang belum dapat dipastikan sama ada saya sudah sembuh. Saya berharap boleh cepat keluar.

“Jika boleh nak berpuasa dengan keluarga. Jika sebaliknya saya reda. Lagipun, kalau sudah dibenarkan keluar nanti saya mesti kuarantin diri sekali lagi selama 14 hari. Kena bebas sepenuhnya baru boleh berjumpa keluarga,” katanya.

Menurut Ashraf, semua anaknya mengetahui keadaan dirinya yang disahkan positif Covid-19.

“Kalau ikutkan sudah lebih sebulan tak jumpa anak-anak dan dua isteri kerana saya berlepas ke Scotland pada 8 Mac lalu. Jadi, bagi mengubat rindu saya akan panggilan video. Saya selalu pesan pada kedua isteri, jaga anak-anak, solat dan berdoa semoga segera berjumpa,” katanya.

Ashraf menjadi individu kesembilan yang disahkan positif wabak Covid-19 daripada produksi drama Demi.

Selain Ashraf, dua pelakon drama itu turut dijangkiti iaitu Puteri Aishah dan pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, lima kru dan ibu kepada Rayqa iaitu Syira.

kredit harian metro