“Biar Mak Cik Mati Di Sini. Biar Mak Cik Duduk Rumah Pusaka Yang Buruk. Rasa Bahagia, Tenang Dan Aman..”

BENTONG: “Biar mak cik mati di sini. Biar mak cik duduk rumah pusaka yang buruk. Rasa bahagia, tenang dan aman. Jangan jadikan seperti bandar,” luah penduduk Janda Baik di sini, Laila Husin.


Laila, 64, yang juga penjual kuih salah seorang daripada 1,544 penduduk yang membantah draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Janda Baik.

RKK itu adalah rancangan bagi membangunkan Kampung Tradisional Melayu, di situ kepada destinasi pemukiman pelancongan eko yang mampan bertaraf antarabangsa.

Menurut Laila, dia sudah tinggal di Lorong Sungai Chemeproh, Janda Baik sejak berusia lima tahun lagi dan ibunya adalah penduduk asal di kampung itu.

“Mak cik tengok sendiri hasil keringat mak dan abah untuk hasilkan dan bina rumah di sini.

“Rasa mak cik tak ternilai dengan harga diri mak cik. Biarlah kampung ini dijadikan sebagai kampung warisan.

“Memang sedih kalau kampung ini dijadikan bandar. Mak cik dah tengok kawan mak cik dulu yang duduk di Dengkil dan mereka bagi rumah flat.

“Mak cik tak nak macam itu sebab tidak terdaya.

“Namun kalau ada pembangunan sesuai, Alhamdulillah, mak cik sokong. Kalau pembangunan untuk merosakkan dan menjahanamkan mak cik tak mahu,” katanya kepada pemberita selepas sidang media bantahan RKK Janda Baik di sini, semalam.

Dalam pada itu, salah seorang pemilik resort di Janda Baik, Ashari Shuib, 57, berkata, RKK itu akan memberi kesan kepada perusahaannya serta pengusaha yang lain.

“Kampung Janda Baik ini unik. Kebanyakan yang datang nak tengok keindahan semula jadi dan perkampungan. Jika nak tengok pelancong boleh pergi ke Langkawi, Tioman dan sebagainya.

“Di sini orang datang sebab nak tinggal dalam kampung kerana ada nilai estetika iaitu sungai serta jalan yang bersimpang siur. Tidak perlu diubah secara menyeluruh, jika nak ubah secara semula jadi kami sokong,” katanya.

Terdahulu, seramai 30 penduduk Kampung Janda Baik menyerahkan 1,544 borang cadangan dan bantahan awam kepada Majlis Perbandaran Bentong.

Sementara itu, wakil penduduk, Hanifah Mohd Rabin, 52, berkata, pihaknya tidak dimaklumkan itu draf RKK dan hanya mengetahuinya melalui kumpulan sasaran (penduduk terpilih) pada Oktober, tahun lalu.

Menurutnya, draf RKK itu dilihat tidak memihak kepada penduduk yang kemungkinan besar bakal hilang penempatan selepas pewartaan rizab jalan dan sungai dilakukan.

“Kami bimbang berikutan dalam draf itu menyebut berkenaan pelebaran jalan dan sungai di kampung itu. Sekiranya berlaku, ia akan ambil hak milik penduduk selain perobohan binaan di sepanjang pelebaran itu.

“Kampung ini adalah Kampung Tradisional Melayu yang satu-satunya di tanah tinggi yang ada di Malaysia. Malah, sekiranya berlaku berkemungkinan akan bertukar status Tanah Rizab Melayu kepada Rizab Antarabangsa,” katanya.