Bingung Api “Misteri” Selalu Muncul Dirumah, Banyak Harta Dah Musnah, Keluarga Hidup Dalam Ketakutan

SEKELUARGA di Kampung Penambang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu dikejutkan dengan kemunculan api misteri yang berulang kali sejak dua hari lalu.


Malah, tinjauan NSTP, hari ini turut mengesan api itu yang tiba-tiba muncul, membakar beberapa bahagian rumah dalam tempoh berselang beberapa minit.

Antara yang terbakar, kain, selimut dan sejadah, selain api marak tiba-tiba merebak ke barangan lain seperti pintu, almari dan mesin basuh.

Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 21, ketika ditemui berkata, kejadian itu bukan pertama kali berlaku, sebalik menjadi dilema keluarganya sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, pada September 2017, rumah mereka pernah terbakar 100 peratus hingga merebak ke rumah jiran yang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

“Selepas lebih dua tahun tidak diganggu kejadian misteri ini, kami sekali lagi terpaksa melaluinya, bermula dengan kebakaran motosikal di bawah rumah pada 8.45 malam, Ahad lalu.

“Saya sudah buntu apatah lagi, ada penduduk kampung yang memulaukan kami sekeluarga kerana terdapat pengamal perubatan tradisional yang ambil kesempatan dan buat andaian mengarut,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, mereka pernah ditempatkan di rumah kebajikan selepas kediaman musnah dalam insiden pertama, namun lokasi itu juga diganggu api.

“Sepanjang dua malam ini rumah kami ‘dijaga’ pihak bomba yang sentiasa bersedia kerana risau api muncul akan memusnahkan lagi kediaman. Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Kami sekeluarga kini tidak lena untuk tidur memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini. Saya merayu orang ramai tidak membuat andaian sendiri kerana ada tidak rasai derita kami,” katanya.