KUALA LUMPUR, 12 Jun — Pembuatan kek lapis Sarawak bukanlah mudah, maka tidak hairanlah harganya tidak kurang daripada RM30 sebungkus.
Seorang pemuda Kenneth Chai dari Kuching, Sarawak mendedahkan ibunya membuat persiapan dengan merangka pelan lukisan kuih secara teliti menggunakan formula matematik.
Memuat naik foto nota tulisan ibunya, kuih sembilan lapisan dirangka mengikut simbol ‘x’, ‘y’, dan ‘z’ bagi menghasilkan potongan segi empat yang serata mengikut warna dan corak.
People always ask why kek lapis Sarawak is so expensive.
This is my mom planning her next bake. pic.twitter.com/tpj6J87lle
— 𝙆𝙀𝙉 🧰 (@ruffleseed) June 10, 2020
“Orang selalu tanya kenapa kek lapis Sarawak sangat mahal. Ini cara mak saya merancang kuih seterusnya,”catat @ruffleseed di Twitter.
Katanya ibu dan kakaknya membuka perniagaan My Kitchen Confidante dengan membuat kuih dan biskut sejak 1984.
Hantarannya mendapat lebih 98,000 tanda ‘suka’ dan diulang kicau lebih 50,000 pengguna Twitter. Kebanyakan pengguna Twitter di ruangan komen kagum dengan ketelitian ibu pemuda terbabit membuat kuih.
Ramai juga yang menyangka ibunya sebelum ini seorang arkitek kerana menggunakan kaedah ilmu hisab. “Tidak, dia dulu seorang cikgu. Saya dan kakak belajar kejuruteraan. Sekarang dia pembuat kuih dan saya mengajar,” jawab Ken.
kredit projekmm