BUNYI dentuman kuat yang mengejutkan dan mencetuskan tanda tanya penduduk terutama kawasan perkampungan di Segamat, malam tadi, terus kekal misteri.
Bunyi kuat itu turut menjadi spekulasi dengan pelbagai ulasan daripada netizen antaranya mendakwa petanda banjir besar akan berlaku dan ia tular di aplikasi WhatsApp.
Penduduk Kampung Jawa, Segamat, Kasman Ramin, 73, berkata, ketika berada di rumahnya sekitar 9.30 malam, dia terdengar dentuman kuat yang tidak diketahui puncanya.
“Bunyi berturutan didengari itu seolah-olah letupan meriam, tetapi sudah pasti bukan letupan dari kuari dan kedudukan kuari jauh dari sini.
“Cuaca baik ketika itu, sukar juga mengaitkannya dengan guruh atau petir.
“Kisah meriam misteri di daerah ini yang dikatakan akan meletup dengan sendirinya sebelum banjir melanda turut dikaitkan.
“Kisah itu diceritakan sejak turun temurun. Orang lama Segamat tentunya arif dengan kisah bunyi letupan meriam misteri itu dan sekiranya meriam itu meletup, mereka bersiap sedia kerana ia petanda banjir bakal melanda dan kebetulan ia berlaku pada 2006,” katanya.
Penduduk di Taman Kampung Tengah, Chew Lin Poo, 58, berkata, tidak mungkin bunyi letupan itu daripada aktiviti meletup batu kerana ia hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja.
“Saya mendengar bunyi dentuman kuat itu dengan jelas kerana sedang berada di luar rumah, malam tadi.
“Saya turut mengetahui kisah bunyi letupan meriam petanda awal banjir berdasarkan cerita mulut ke mulut oleh generasi waris keluarga terdahulu,” katanya.