Gajah Menghidap Sembelit, Doktor Terpaksa Guna Tangan Untuk Seluk Masuk Ke Dalam Bontot Gajah

CHIANG MAI: Seorang penjaga haiwan terpaksa memasukkan tangan ke dalam dubur seekor gajah dewasa yang mengalami sembelit.


Langkah itu terpaksa diambil selepas gajah berkenaan berdepan masalah penghadaman dipercayai akibat makan rumput yang bukan sebahagian daripada dietnya.

Gajah jantan yang diberi nama Boon Peng berusia 60 tahun sebelum itu dikesan mengalami masalah pada abdomen dan sukar untuk bergerak sehingga menyebabkan pemiliknya memanggil doktor veterinar untuk rawatan lanjut.

Kiettisak Kaweakn yang bertugas di kem berkenaan perlu memakai sarung tangan plastik sebelum memasukkan tangannya ke dalam rektum gajah itu bagi mengeluarkan kotoran.

Dalam laporan Daily Mail, pengurus kem berkenaan, Anchalee Kalamaphichit berkata, gajah berkenaan dikesan makan rumput segar di kawasan padang berhampiran walaupun sebelum ini haiwan itu diberikan rumput kering khas.

KOTORAN dikeluarkan dari rektum Boon Peng. FOTO ViralPress

Menurutnya, kebiasaannya kakitangan kem akan memberikan rumput kering untuk gajah kerana ia lebih baik untuk sistem pencernaan namun gajah dewasa itu dilihat tetap makan rumput di padang berkenaan.

“Gajah yang masih muda kelihatan tidak mengalami sebarang masalah walaupun rumput segar itu tidak sesuai. Namun bagi gajah dewasa, sistem pencernaan dan metabolisme yang perlahan menyebabkan rumput dimakan sukar untuk dicernakan.

“Untuk mengeluarkan kotoran dari rektum gajah bukan sesuatu yang mudah dan haiwan itu akan diserang penyakit sekiranya kotoran itu tidak dikeluarkan,” katanya.