Bujang atau dah berkahwin, barang dapur sememangnya menjadi satu keperluan di rumah untuk seseorang yang tidak sukakan makanan di luar. Tambahan pula, masakan sendiri lebih sedap dan puas berbanding di kedai.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa ramai yang sanggup berhabis duit semata untuk memenuhi keperluan barang dapur lebih-lebih lagi yang mempunyai keluarga.
Namun begitu, jika bil barang dapur mencecah sehingga beribu, turut menimbulkan tanda soal juga walhal barang yang dibeli tidaklah terlalu banyak.
Menurut sebuah akaun di laman Instagram iaitu @thereporters, terdapat seorang lelaki yang terkejut apabila bil barang dapurnya mencecah hampir sebanyak RM1900 ketika dia sedang membeli di sebuah pasar raya.
Kejadian itu bukan sahaja membuatkan dirinya terkejut bahkan juruwang yang bekerja di situ juga turut mengalami perkara yang sama.
Lantas, juruwang itu bertanya “betul ke abang beli harga banyak ni?”. Lelaki berkenaan membalas “takkan la barang dapur dan makanan sampai macam tu harga dia?”.
Setelah itu, juruwang tersebut meminta bantuan daripada seorang pekerja wanita yang kebetulan berada di kawasan berdekatan.
Rupa-rupanya, pihak pasar raya tersebut telah tersilap meletakkan tanda harga di bahagian sayur iaitu serai. Mujur lelaki berkenaan menyemak harga sebelum membayar barang-barang tersebut.
Pemuda itu juga telah mengucapkan tahniah kepada kedua orang pekerja terbabit kerana bertindak dengan cepat tanpa membuatkan pelanggan tunggu lama.

kredit HCL