Herba Ini Bernilai RM6,000 Sekilo Dan Dikenali Viagra Semulajadi Di Thailand

Kebimbangan terhadap kesan sampingan akibat penggunaan bahan kimia sintetik dan tanggapan positif terhadap produk berasaskan bahan semula jadi menyebabkan peningkatan dalam industri penanaman herba.

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi meningkat secara mendadak dan pengusaha seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi.

Produk ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan seperti penjagaan kesihatan tambahan (suplement), ubat-ubatan, kosmetik dan penjagaan diri. Di Amerika contohnya, permintaan terhadap produk kosmeseutikal sahaja meningkat hampir 11% setiap tahun dan nilainya pada tahun 2008 mencapai USD7 bilion. Di Malaysia, industri pasaran produk berasaskan herba dianggar bernilai lebih daripada RM4.5 bilion dan dijangka akan terus meningkat pada tahun berikutnya.

Halia hitam (Kaempferia parviflora) merupakan sejenis tanaman cekur yang sangat bernilai tinggi dan diguna secara tradisional sebagai aphrodisak dan tonik serta mempunyai ciri-ciri antiradang, antigastrik dan antiobesiti yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati di bahagian timur laut Thailand dan sangat popular di kalangan kaum lelaki kerana ia dikenali sebagai viagra semula jadi dan telah disahkan tiada kesan sampingan. Di samping itu, halia hitam dikatakan dapat memberi kekuatan dan tambahan tenaga.

Hasil kajian di Thailand menunjukkan tumbuhan ini mempunyai kandungan antioksida yang sangat tinggi, antidiabetik, meningkatkan kepadatan sperma dan antidepresi yang sesuai untuk kesihatan dan telah lama digunakan untuk tujuan perubatan.

Komponen utama yang telah dikenal pasti yang terdapat dalam halia hitam ialah polymethoxy flavonoids seperti 3,5,7-trimethoxyflavone, 3,5,7,4’-tetramethoxyflavone, 5,7-dimethoxyflavone,3,5,7,3’,4’- pentamethoxyflavone dan 5,7,4’-trimethoxyflavone.

Walaupun permintaan produk herba terus meningkat kebelakangan ini, penghasilan produk berasaskan halia hitam masih dipandang sepi berikutan kekurangan bahan tanaman untuk penghasilan secara berskala besar.

Artikel Berkaitan   Berbuah Seawal 3 Tahun, Boleh Tanam Dalam Pasu, ASFA50 Hasil Kacukan Durian Tembaga, Musang King, Duri Hitam & Udang Merah?

Peluang ini membolehkan MARDI untuk memperkenalkan tanaman halia hitam yang merupakan tanaman berpotensi dan bernilai tinggi yang perlu dieksploitasikan dengan kadar segera. Produk berasaskan halia hitam ini boleh diaplikasi dalam bentuk makanan kesihatan, makanan tambahan herba, (campuran produk bersama kopi) kosmetik dan farmaseutikal yang telah banyak dihasilkan di Thailand.

Berasaskan penemuan terdahulu oleh penyelidik Thailand, halia hitam didapati selamat untuk dimakan malah terbukti keberkesanannya serta mempunyai nilai yang tinggi dan dijangka mampu untuk memberi keuntungan. Ia berpotensi sebagai tanaman yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada negara jika dihasilkan pada skala yang besar dan selari dengan R & D yang dilakukan. Pembangunan produk berasaskan herba dan nilai tambahnya, bukan sahaja akan menggalakkan pertumbuhan industri herba, tetapi juga menyediakan peluang penjagaan kendiri kepada orang ramai.

Permasalahan dalam pengeluaran produk halia hitam ialah tidak ramai yang mengetahui khasiat dan kebaikan halia hitam. Secara saintifiknya, khasiat halia hitam telah dibuktikan oleh kajian yang telah dilaporkan di dalam beberapa jurnal. Namun begitu, kekurangan bahan tanaman ini di Malaysia menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan merupakan faktor utama halia hitam tidak popular seperti tanaman lain.

Malah, aktiviti R & D di Malaysia masih tidak menghasilkan produk berasaskan tanaman halia hitam walaupun banyak institusi penyelidikan dan universiti yang mengetahui potensi besar tanaman ini. Kesukaran untuk mendapatkan rizom sebagai bahan utama dalam penghasilan produk merupakan masalah yang utama.

Harga rizom yang terlalu mahal mencecah sehingga RM6,000/kg telah menyukarkan pengusaha industri herba untuk mengeksploitasi dan memperkenalkan tanaman ini dalam pasaran industri herba.

: Zuraida Ab Rahman dan Ayu Nazreena Othman via Buletin Teknologi MARDI.

Artikel Berkaitan   Harga Sebiji Mencecah RM8, Petani di Langkawi Disaran Tanam Kelapa Pandan Wangi

Sharing is caring!

SUMBER ASAL